Bencana tsunami tiada amaran

Keadaan di Palu selepas tsunami dan gempa.
Keadaan di Palu selepas tsunami dan gempa.
A
A
A

SUDAH sebulan lebih bencana alam sekitar melanda Provinsi Sulawesi Tengah khususnya di daerah Donggala dan daerah Palu yang telah mengorbankan ribuan nyawa.

Ramai yang menyangka faktor kemusnahan adalah berpunca daripada tsunami dan gempa bumi semata-mata, tetapi sebenarnya daerah khusus di Palu dilandai dengan tiga bencana alam sekali gus, iaitu gempa bumi, tsunami dan pencecairan tanih.Fenomena serentak ini menyebabkan sebahagian besar daerah Palu lumpuh serta-merta termasuk sistem perhubungan darat yang terputus dari arah selatan dan utara wilayah Donggala.Kota Palu yang merupakan ibu kota Provinsi Sulawesi Tengah, Indonesia merupakan kota lima dimensi yang terdiri megah di atas lembah, lautan, sungai, pergunungan dan teluk. Penduduk di sini sudah biasa dengan kejadian gempa bumi yang kerap direkodkan sebelum ini.

Mengikut rekod, kawasan di sepanjang Sesar Palu-Korro ini telah mengalami 15 kali gempa bumi berskala melebihi 6.5 di mana gempa paling kuat adalah pada Januari 1996 sekuat 7.9 magnitud, iaitu 100km di utara Palu.Namun kekuatannya belum pernah menghasilkan gelombang tsunami yang besar seperti yang berlaku pada petang 28 September 2018.

Rata-rata masyarakat pinggir pantai seperti terkejut dan hilang arah apabila tiga siri tsunami melanda sepanjang perairan pantai Donggala, Manakara, Perunas dan Sigi. Kebanyakan pantai-pantai di sini merupakan tumpuan wasata (pelancong) termasuk di Pantai Taipa dan Talise.

Akibatnya, 384 orang (laporan terawal tragedi) seperti yang dilaporkan oleh Tribunjatim.com telah maut akibat dihanyut ombak besar. Jika diperhatikan dalam beberapa video yang ditularkan di media sosial. Sekurang-kurangnya dua (ada kawasan dilaporkan tiga) kali tsunami membadai dengan ganas di perairan Palu.

Hentaman pertama membentuk tsunami primer membadai lebih kurang 22 minit selepas gempa bumi melanda manakala jarak masa di antara tsunami primer dan sekunder ialah sekitar 4 minit. Dilaporkan tsunami sekunder adalah lebih kuat dengan ketinggian puncak ombak dianggarkan melebihi 3 meter.

Suatu yang tidak dijangka oleh kebanyakan masyarakat tempatan bahawa gempa bumi pada kekuatan 7.5 pada skala Ritcher boleh mengakibatkan pembentukan tsunami. Ini kerana telah berlaku sebelumnya gempa bumi kuat pada skala 7.9 telah dilaporkan sebelum ini.

Yang lebih menarik ialah gempa bumi yang berlaku bukannya di bahagian lautan dalam tetapi di bahagian daratan. Keadaan ini mungkin menjadi punca mengapa amaran tsunami ditarik balik selepas beberapa siri gempa bumi dilaporkan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Sudah pastinya kejadian bencana gempa bumi daratan atau di kawasan cetek dan disusuli dengan tsunami menjadi topik hangat dalam kalangan penyelidik dan pemerintah pada masa akan datang. Ini kerana, tsunami sering dikaitkan dengan gempa bumi akibat pergerakan atau geseran secara drastik dua plat tektonik di dasar laut dalam.Adakah terdapatnya satu pergerakan besar-besaran seperti tebing runtuh di dasar laut yang berlaku serentak? Atau posisi geseran dan faktor kecetekan yang membawa kepada malapetaka berkenaan?. Semua kemungkinan ini pastinya akan dikaji kerana maklumat sebegini akan membantu dan penyelamatan lebih ramai mangsa gempa bumi dan tsunami pada masa akan datang.

Seperti filem The San Andreas

Filem bencana gempa bumi dan tsunami San Andreas yang diarahkan oleh Bray Peyton dan dilakonkan oleh “The Rock” Dwayne Johnson pada tahun 2015 merupakan filem yang seakan sama plot ceritanya dengan apa yang berlaku di Palu, Sulawesi.

Dalam filem ini, digambarkan bahawa gempa bumi yang berlaku adalah berpunca daripada kegagalan transformasi benua yang meluas sejauh 1,200 km melalui California dan membentuk sempadan tektonik antara Plat Pasifik dan Plat Amerika Utara.

Geseran yang berlaku secara menyisi dan mendatar (right-lateral strike-slip) menyebabkan beberapa siri gempa bumi dahsyat yang direkodkan semenjak 100 tahun lampau. Situasi ini turut dirasai di Palu bilamana gempa bumi sekuat 7.5 tempoh hari juga disebabkan geseran menyisi di antara dua plat mikro, iaitu Plat Banda Sea dan Plat Molucca pada satu jalur sesar yang dinamakan sebagai Sesar Palu-Korro.

Di sinilah di mana ibu kota Palu terletak dalam kawasan sesar meliputi jarak sejauh 120 km panjang. Ditambah lagi dengan lokasi bandar Palu yang terletak di hubung perairan Teluk Palu seluas 189,00 km2, sudah pasti tumpuan jalur gelombang tsunami menjadi lebih sempit dan meninggi. Sebab itu tidak menghairankan jika dilihat hampir seluruh jalur Pantai Talise di Palu musnah teruk akibat gelombang tsunami.

Gelombang besar

Tsunami tidak seperti gelombang pasang surut atau air pasang besar (perbani) yang kadang kala turut menerjah ombak melepasi permatang atau belakang pantai. Ia tidak seperti pembentukan ombak yang dijana oleh angin di bahagian permukaan laut.

Tetapi tsunami adalah siri ombak besar yang diakibatkan oleh dentuman kuat (jika disebabkan jatuhan meteor, tebing runtuh, jatuhan kubah galsier) atau pergeseran tiba-tiba plat tektonik dasar laut.

Dalam gempa bumi dan tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 di Acheh, ombak tsunami bergerak ratusan kilometer menerjah sehingga ke 14 buah negara termasuk Malaysia dan menyebabkan 230,000 kematian.

Pada amnya, tsunami amat jarang berlaku di Lautan Hindi berbanding di Lautan Pasifik. Namun, tsunami Lautan Hindi pada tahun 2004 merupakan tsunami paling ganas pernah direkodkan. Tsunami ini dikatakan telah menghasilkan tenaga yang menyamai 23,000 butir bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Menurut laporan dari Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), kebanyakan tsunami yang terjadi berasal dari lingkaran api iaitu zon gunung berapi yang mengandungi aktiviti gempa bumi sepanjang 32,500 kilometer mengelilingi Lautan Pasifik.

Ombak besar yang terbentuk mempunyai kelebaran sehingga 200 kilometer dan mampu bergerak beribu-ribu kilometer merentasi lautan dengan kelajuan mencapai 725 hingga 800 kilometer sejam.

Apabila memasuki kawasan perairan cetek, ombak yang bermula dengan ketinggian setengah meter di atas laut mampu mencecah ketinggian 15 meter atau lebih apabila menghampiri pantai. Tenaga yang dihasilkan inilah boleh menjadi penyebab kemusnahan bangunan dan kematian di kawasan pinggir pantai sehingga menjangkau lima km ke daratan.

Sistem peramalan dan amaran

Walau secanggih mana pun teknologi yang dibangunkan sekarang, para saintis mengakui belum ada satu kaedah dan peralatan canggih yang mampu meramal bila tsunami akan muncul. Teknologi yang ada hanyalah mampu memberikan amaran kepada kejadian tsunami terutama apabila ianya dikaitkan dengan fenomena gempa bumi dari arah dasar laut.

Namun teori ini juga semakin sukar dipercayai kerana apa yang berlaku di Palu Sulawesi jelas menunjukkan bahawa pusat gempa berlaku di bahagian daratan, bukan lazimnya di dasar lautan yang boleh mencetuskan tsunami. Kita berharap dengan kemajuan Revolusi Industri ke-4, peramalan bila berlaku tsunami boleh dibuat melalui analisis data raya (big data).

Walaupun memakan masa, peluang untuk negara-negara yang terdedah kepada bahaya tsunami boleh mendapat manfaat apabila jutaan maklumat perilaku tsunami ini dianalisis dan seterusnya mampu menunjukkan tren jangkaan kekerapan dan kekuatan sesuatu kejadian tsunami itu berlaku.

Kesan tsunami yang melanda negara pada tahun 2004 menyebabkan Malaysia turut mengambil langkah memperkukuhkan sistem amaran tsunami terutama di Sabah dan Sarawak.

Terkini, Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) yang dipasang pada tahun 2014 di perairan pantai Barat Malaysia berfungsi untuk memberikan amaran awal kepada penduduk sekitar lingkungan tiga kilometer radius dari kawasan sistem itu dipasang sekiranya akan berlaku bencana tsunami.

Sistem Amaran Awal Pelbagai Bencana yang sekarang diguna pakai Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) turut memantau dan memberi amaran awal kepada pihak berkuasa mengenai kejadian bencana semula jadi yang akan dihadapi negara dalam jangka masa tertentu, bergantung kepada jenis bencana itu.

Walaupun sebelum ini Malaysia mempunyai sistem canggih yang melibatkan pemantauan di laut lepas menggunakan 3 boya tsunami dan tsunameter, ia terpaksa ditamatkan atas sebab penyelenggaraan yang tinggi dan ketahanan. Namun sistem ini telah diambil alih oleh mekanisme lain menggabungkan penggunaan tolok pasang surut, kamera pantai dan sistem siren yang dipasang secara berperingkat di seluruh negara.

Kerajaan melalui JMM sangat serius dalam memastikan setiap maklumat mengenai bahaya tsunami dapat dikesan lebih awal dan dapat dimaklumkan kepada masyarakat agar lebih bersedia. Ini termasuk juga sistem amaran merangkumi 17 stesen seismik; 18 kamera pantai; tiga pelampung tsunami; 17 stesen pasang surut; perisian ‘Antelope’, ‘Seiscom P’ dan ‘Early Bird’ bagi menentukan lokasi dan magnitud gempa bumi serta model numerikal tsunami.

Ini bermakna, maklumat, nasihat dan amaran mengenai gempa bumi dan tsunami pula dapat dikeluarkan dalam masa 12 minit dari masa kejadian gempa dikesan. Namun secanggih mana pun sistem amaran yang ada, tanpa kesedaran, latihan menghadapi bencana tsunami dan pemahaman mengenai bahaya tsunami, sudah pasti masyarakat terutama di pinggir pantai akan terperangkap dan mudah menjadi mangsa kepada bencana tsunami ini.

Kesedaran

Memang tidak banyak yang mampu dibuat apabila berlakunya tsunami. Berdasarkan kepada rakaman di Youtube, amat jelas tsunami tidak disedari kehadirannya walaupun sebelum itu telah berlaku gempa bumi.

Namun, kesedaran dan langkah berjaga-jaga seharusnya dapat dilaksanakan bilamana terdapatnya gempa bumi yang berpotensi menghasilkan ombak tsunami. Bagi individu, maklumat kejadian gempa bumi yang disalurkan melalui media sosial membantu mereka untuk segera mencari perlindungan di kawasan yang selamat.

Tempoh masa sekitar 20 minit sekiranya disedari masih sempat untuk mengosongkan kawasan yang dijangka dilanda tsunami. Mereka juga perlu mengelakkan dari pergi ke arah pantai sekiranya berlaku tanda-tanda awal tsunami seperti air yang surut yang berlaku secara tiba-tiba.

Di samping itu, tsunami juga mampu melanda beberapa kali, oleh itu adalah tidak digalakkan untuk pergi ke kawasan pantai untuk melihat kerosakan selepas ombak tsunami pertama melanda. Ini adalah untuk mengelakkan dilanda ombak tsunami yang berikutnya.

Walaupun ajal dan maut itu di tangan Tuhan, kita perlu berusaha untuk mengelakkan dari menjadi mangsa bencana alam ini. Sama-sama kita berdoa agar Malaysia sentiasa dihindari dari bencana tsunami dengan tidak melakukan kemungkaran dan kerosakan yang boleh mendatangkan kemurkaan ALLAH SWT.

* Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi) Universiti Kebangsaan Malaysiac