Prestasi jemaah menteri capai 90 peratus suntik kesungguhan: PM

Ismail Sabri ketika berucap pada Perasmian 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
Ismail Sabri ketika berucap pada Perasmian 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Prestasi keseluruhan bagi tempoh 100 hari pentadbiran jemaah menteri yang mencapai sekitar 90 peratus kejayaan bukan alasan untuk mendabik dada sebaliknya ia menyuntik kesungguhan dan iltizam untuk barisan kabinet terus bekerja bersama rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, sasaran penuh Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tidak mustahil untuk dicapai sekiranya seluruh ahli Jemaah Menteri dengan kerjasama penjawat awam menggembleng tenaga dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada dan berkesan kepada Keluarga Malaysia.

"Meskipun pencapaian tidak menepati sasaran 100 peratus, pelbagai program telah dan akan dilaksanakan bagi menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat terutama dalam menghadapi tempoh pandemik Covid-19.

"(Ia dengan) mengetepikan segala kerenah birokrasi. Bagaimanapun, sesetengah prestasi tidak boleh dinilai daripada kaji selidik semata-mata. Maka peratusan yang dicapai ini bukan alasan untuk kita mendabik dada, sebaliknya ia menyuntik kesungguhan dan iltizam untuk kami terus bekerja bersama rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, jemaah menteri, timbalan menteri, ketua-ketua perkhidmatan dan ketua-ketua setiausaha kementerian.

Ismail Sabri berkata, 140 sasaran telah ditetapkan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh 100 hari tersebut, membabitkan 31 menteri daripada lima kluster iaitu Kluster Menteri Kanan, Ekonomi, Sosial, Keselamatan dan Infrastruktur.

Beliau berkata, pada 24 September lepas, beliau telah memuktamadkan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diukur berdasarkan 50 peratus perkhidmatan teras kementerian, penilaian prestasi menteri (25 peratus) dan persepsi awam (25 peratus) terhadap menteri dan kementerian.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, 190,914 ahli Keluarga Malaysia terlibat dalam tinjauan soal selidik oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan Malaysia (Mampu) untuk menilai pencapaian Jemaah Menteri dan kementerian.

“Usaha ini merupakan permulaan bersejarah kerana penilaian 360 darjah buat pertama kalinya dilaksanakan untuk menilai pencapaian kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah menggariskan enam teras atau fokus utama dalam pencapaian 100 hari iaitu menstruktur semula ekonomi; menjamin keselamatan dan ketenteraman negara; meningkatkan kesejahteraan sosial; mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh; memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia dan memperkasakan penyampaian perkhidmatan.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan terus berusaha bersungguh-sungguh serta memperbaiki prestasi pada masa depan demi rakyat.

“100 hari bukanlah jangka masa yang memadai untuk mengukur prestasi. Masih terdapat ruang yang perlu diberikan perhatian serius dan ditambah baik. Kami akan berusaha dengan sebaik-baiknya, demi kemaslahatan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia tidak akan terhenti setakat ini, malah akan berterusan melalui pelan jangka sederhana bagi tempoh enam bulan dan sasaran jangka panjang.

Perdana Menteri berkata, kerajaan peka terhadap keluh kesah rakyat terutama isu kenaikan harga barang dan bagi menanganinya, tindakan segera telah diambil bagi mengawal harga dengan memperkenalkan skim kawalan harga maksimum barang keperluan serta Jualan Murah Keluarga Malaysia di setiap kawasan Parlimen bermula 4 Disember lepas.

Kerajaan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM262 juta, sebagai insentif tambahan untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi petani.

“Mengambil kira analisis sentimen rakyat yang telah dilaksanakan terhadap ahli Jemaah Menteri dan kementerian, setiap pandangan dan luahan rakyat mesti didengari dan diambil kira untuk menambah baik sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan, umpama memerah nyiur, santan diambil, hampas dibuang.

“Inilah janji saya kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, rakyat boleh meneliti pencapaian kerajaan melalui program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung hari ini hingga 12 Disember.

“Ambillah peluang ini untuk melihat sendiri program yang disediakan, termasuk program Bantuan Aspirasi Kerajaan, pameran peluang kerjaya, kaunter perkhidmatan kerajaan dan banyak lagi program yang dibentuk khusus untuk Keluarga Malaysia,” katanya. - Bernama