Rasionalisasi perkhidmatan udara luar bandar siap tahun depan: MAVCOM

Kerajaan melalui MAVCOM sebelum ini memaklumkan akan melaksanakan rasionalisasi perkhidmatan udara luar bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak yang disediakan MASwings.
Kerajaan melalui MAVCOM sebelum ini memaklumkan akan melaksanakan rasionalisasi perkhidmatan udara luar bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak yang disediakan MASwings.
A
A
A

SURUHANJAYA Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dijangka dapat menyiapkan rasionalisasi perkhidmatan udara luar bandar (RAS) menjelang suku kedua 2022 sepertimana diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk, Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Menurut jurucakap suruhanjaya itu, usaha rasionalisasi tersebut bertujuan menangani isu berkaitan kapasiti berlebihan serta permintaan rendah terhadap RAS yang sebahagian besarnya disebabkan oleh pelaksanaan larangan perjalanan bagi membendung penularan Covid-19.

"Langkah rasionalisasi itu akan memastikan pengoptimuman laluan-laluan RAS dan menambah baik faktor muatan untuk membolehkan program RAS berkenaan dapat mencatat kemajuan di masa akan datang,” katanya kepada Bernama dalam wawancara menerusi e-mel.

Beliau berkata, pada masa ini, tiada sebarang rancangan untuk meneliti semula had siling tambang semasa bagi penerbangan dalam rangkaian RAS itu atau mengurangkan jumlah subsidi yang diperuntukkan oleh kerajaan.

Sepertimana diumumkan dalam Bajet 2022, kerajaan akan memperuntukkan subsidi berjumlah RM209 juta bagi RAS di Sabah dan Sarawak, jumlah menyamai peruntukan pada 2020.

Menurut jurucakap itu, pelaksanaan sekatan perjalanan bagi membendung penularan Covid-19 telah menyebabkan kemerosotan permintaan terhadap RAS pada 2020 dan 2021 serta menjadikan operasi RAS dikurangkan dengan laluan serta kekerapan penerbangan digantung atau dihadkan.

"Berikutan itu, rasionalisasi operasi RAS itu diperlukan untuk memastikan pengoptimuman laluan perkhidmatan itu serta faktor muatan atau beban yang lebih baik dalam memastikan kemajuan dan kecekapan RAS,” katanya.

Selain langkah rasionalisasi, jurucakap itu berkata, MAVCOM juga sentiasa memantau kemajuan RAS dan menjalankan semakan semula secara berterusan dan tahunan bagi meneliti rangkaian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ini penting bagi mengetengahkan saranan jangka panjang bagi dasar-dasar akan datang dan sejajar dengan Seksyen 68 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Akta 771).

Di bawah Akta 771, MAVCOM diberi kuasa untuk mentadbir dan menguruskan skim Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO) dalam industri penerbangan di Malaysia yang turut merangkumi RAS.

Kerajaan terutamanya Kementerian Pengangkutan, kekal menjadi pembuat keputusan utama bagi dasar berkaitan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan melalui MAVCOM akan melaksanakan rasionalisasi RAS di Sabah dan Sarawak yang diuruskan oleh MASwings.

Menurut Ismail Sabri, usaha itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan bagi memastikan kemudahan terbabit dapat dinikmati oleh penduduk di kawasan luar bandar pada tahap terbaik.

Beliau berkata, rasionalisasi itu melibatkan kajian semula objektif RAS, implikasi kewangan terlibat, laluan dan kekerapan penerbangan RAS, kadar tambang yang ditetapkan, jenis pesawat dan mekanisme pemberian subsidi kepada pengguna perkhidmatan itu dari masa ke masa.

Selain itu, MAVCOM berkata, tambang bagi laluan RAS itu adalah berdasarkan harga siling yang diluluskan oleh kerajaan pada 2011 yang mengutamakan keperluan rakyat dan mengurangkan bebanan untuk mereka di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.

"Tambahan pula, kos operasi RAS oleh MASwings ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dalam bentuk subsidi.

"Walaupun terdapat peningkatan kos operasi RAS pada masa ini, kita tidak bercadang menyemak semula kadar siling sedia ada yang membabitkan penerbangan dalam rangkaian RAS tersebut,” kata jurucakap itu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan laksana rasionalisasi perkhidmatan udara luar bandar: PM