UMNO Johor bincang masa depan bersama Muafakat Nasional

Pandak pada sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor pada Khamis
Pandak pada sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor pada Khamis
A
A
A

JOHOR BAHRU - Isu kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) dan gerak kerja Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan antara agenda yang akan menjadi perbincangan dalam kesemua 26 persidangan UMNO bahagian di Johor pada 18 Disember ini.

Setiausaha Kerja UMNO Negeri Johor, Pandak Ahmad berkata, perbincangan mengenai perkara itu juga akan diusulkan terlebih dahulu menerusi kesemua mesyuarat cawangan yang dijangka selesai pada 11 dan 12 Disember ini.

“Melihat daripada keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini yang mana kita telah memenangi dua pertiga daripada kesemua kerusi dipertandingkan, sudah tentu ini menjadi antara agenda yang akan dibawa.

“Mungkin ada perbincangan untuk kita mohon percepatkan PRU kali ini. Sudah tentu antara lain adalah kerjasama kita dengan Pas menerusi MN,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor pada Khamis.

Mengulas lanjut, Pandak berkata, sebarang keputusan berhubung perbincangan itu juga akan dirumuskan oleh pimpinan tertinggi UMNO negeri untuk dibawa ke peringkat seterusnya ketika Persidangan Agung UMNO (PAU) yang dijangka diadakan pada 13 hingga 15 Januari tahun hadapan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini pihaknya juga tidak menerima sebarang masalah untuk penganjuran mesyuarat sama ada di peringkat cawangan mahu pun bahagian.

“Untuk cawangan kita ada 2,731 dan sehingga kini kita lihat tiada masalah dan semuanya boleh berjalan seperti biasa. Untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi kawalan Covid-19 mungkin terdapat beberapa cawangan akan menggunakan kaedah maya.

“Cuma satu bahagian sahaja iaitu di Sembrong kerana Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Menteri Pertahanan mempunyai urusan luar dan mohon diadakan pada 14 Disember, kita juga sudah luluskan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: