X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Kesedaran berzakat individu 25 tahun ke atas masih rendah

A
A

SHAH ALAM - Kesedaran mengeluarkan zakat khususnya zakat harta bagi penduduk dewasa Islam berusia 25 tahun ke atas di Selangor disifatkan masih rendah, kata Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Muhd Fikri Naim Harun.

Muhd Fikri berkata, pihaknya mendapati 50 peratus daripada mereka yang layak mengeluarkan zakat tetapi tidak berbuat demikian adalah mereka yang berumur 25 hingga 34 tahun.

Justeru katanya, LZS sedang giat menjalankan kempen menggunakan medium media sosial yang tepat dalam memastikan usaha tersebut sampai kepada golongan sasar.

“Berdasarkan data daripada laporan Digital 2021 Malaysia menerusi datareportal.com, kelompok ini menggunakan WhatsApp sebagai medium paling tinggi, perkhidmatan e-dagang Shopee serta ejen carian Google dan kami sedang memfokuskan pada medium-medium tersebut,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, walaupun pelbagai platform disediakan bagi memudahkan pembayaran zakat disediakan LZS, termasuklah pembukaan 23 pusat pembayaran zakat di seluruh negeri dan pembayaran secara dalam talian, usaha lain masih perlu digembleng untuk mendorong golongan yang layak melaksanakan perkara ketiga dalam Rukun Islam itu.

Selain itu, Muhd Fikri berkata, masih ramai lagi masyarakat Islam yang belum tahu kadar sebenar peratusan pembayaran zakat dan bagi mewujudkan kesedaran kepada rakyat Selangor, LZS akan menggiatkan semula Kempen My2.5 yang dilancarkan pada 2020.

“Ini adalah untuk menanam kefahaman dalam kalangan rakyat Selangor bahawa hanya 2.5 peratus daripada pendapatan individu kalau cukup nisabnya mereka wajib berzakat. Walaupun zakat hanya 2.5 peratus tapi jumlah tersebut besar untuk golongan asnaf,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kutipan zakat keseluruhan di Selangor setakat Oktober lalu menyaksikan peningkatan kira-kira sembilan peratus dan penambahan bilangan pengeluar zakat sebanyak tujuh peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau berkata, LZS turut menyasarkan kutipan zakat melebihi RM900 juta sepanjang tahun ini dengan jumlah kutipan pada tahun lalu adalah sebanyak RM913 juta. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!