5,446 kes Covid-19 hari ini

Sebanyak 5,446 kes positif baharu direkodkan setakat jam 12 tengah hari Khamis. - Foto Bernama
Sebanyak 5,446 kes positif baharu direkodkan setakat jam 12 tengah hari Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 5,446 kes baharu Covid-19 dilaporkan pada Khamis, meningkat daripada 5,020 kes pada Rabu menjadikan kumulatif kes kini sebanyak 2,678,465.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 5,446 kes harian yang dilaporkan pada Khamis, sebanyak 88 kes atau 1.6 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima dan 5,358 kes atau 98.4 peratus adalah kategori satu dan dua.

Menerusi kenyataan situasi semasa Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh pula mencatatkan 5,427 kes menjadikan keseluruhan kes yang telah pulih adalah 2,586,822.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, 419 kes disahkan pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 232 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 17 lagi kluster baharu dikesan pada Khamis menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di seluruh negara adalah sebanyak 254 kluster.

Beliau berkata, nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) Malaysia setakat Rabu pula adalah 0.98.

Maklumat terperinci lain berkaitan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari. - Bernama