Dicekup ketika leka hisap dadah atas tilam

Antara barangan yang dirampas di Kampung Jabur Chetok dan Kampung Apam Repek, Pasir Mas pada Khamis.
Antara barangan yang dirampas di Kampung Jabur Chetok dan Kampung Apam Repek, Pasir Mas pada Khamis.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang buruh ditahan bersama 160 biji pil yaba dan 7.44 gram syabu bernilai keseluruhan RM2,200 di dalam sebuah stor perabot di Kampung Jabur Chetok di sini pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu, lelaki berusia 33 tahun berkenaan ditemui di dalam sebuah bilik yang terletak di dalam stor berkenaan.

"Lelaki itu ditemui sedang duduk bersila di atas tilam disyaki sedang menghisap dadah. Pemeriksaan awal pada badan suspek tidak menemui barang salah, namun pihak kami menemui beg berzip di atas tilam dan menemui semua barang yang dirampas.

"Suspek mengaku dadah yang ditemui adalah miliknya dan mendapat bekalan daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Abe'.

"Dia sering kali mendapat bekalan dan berurusan dengan individu berkenaan di tepi Jalan Chetok di Kampung Pasir Parit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nasaruddin berkata, pihaknya menahan seorang lagi buruh berusia 31 tahun di sebuah rumah di Kampung Apam Repek di sini pada jam 3.30 petang Rabu.

Menurutnya, lelaki berkenaan ditemui sedang duduk bersila di atas tilam di dalam rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, pihaknya menemui satu bekas besi aluminium berwarna biru dan menemui 5.4 gram syabu serta dua biji pil yaba dengan nilai keseluruhan RM570.

Artikel Berkaitan:

"Suspek mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya dan mendapatkan bekalan daripada seorang individu bernama 'Bob'. Dia sering melakukan urusan di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu di sini," katanya.

Beliau berkata, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1), Seksyen 39(A) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.