Perak sasar kehadiran lebih ramai pelancong asing

Saarani melihat salah satu galeri yang ada di dalam Taman Sesat TT5 ketika mengadakan lawatan kerja ke TT5 dan TT5 Maze Park di sini pada Khamis.
Saarani melihat salah satu galeri yang ada di dalam Taman Sesat TT5 ketika mengadakan lawatan kerja ke TT5 dan TT5 Maze Park di sini pada Khamis.
A
A
A

BATU GAJAH - Kerajaan negeri Perak akan menyasarkan lebih ramai pelancong antarabangsa untuk ke negeri ini menerusi beberapa tarikan pelancongan baharu yang diperkenalkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara produk pelancongan tersebut termasuklah Kapal Korek Warisan Negara iaitu Tanjung Tualang Nombor 5 (TT5) dan Taman Sesat TT5.

Menurutnya, produk tersebut juga akan dipromosikan bersama beberapa tarikan lain seperti Kuak Hill Resort, Embun Sahom Gopeng dan produk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam kunjungan kerajaan negeri ke Expo Dubai 2020 di Emeriah Arab Bersatu (UAE) pada 26 Disember 2021 hingga 2 Januari 2022.

"Dulu TT5 ini hanyalah ada kapal korek sahaja, tetapi kita lihat sekarang ia telah dibangunkan dengan baik dan ada penglibatan pihak swasta untuk menambah nilai kepada pusat pelancongan ini.

"Saya difahamkan dua minggu lepas, Duta Jerman telah sampai di sini dan beliau juga telah membantu mempromosikan produk ini kepada Duta Eropah lain yang akan datang berkunjung ke tempat ini pada bulan Mac," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke TT5 dan TT5 Maze Park di sini pada Khamis.

Hadir sama pada lawatan tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Anuar Zainal Abidin.

Menurutnya, usaha MB Inc bersama pihak swasta dalam menambah nilai kawasan TT5 itu amat baik dengan menampilkan beberapa tarikan baharu di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Saarani (empat dari kanan) bersama ketua-ketua jabatan dan wakil agensi ketika mengadakan lawatan kerja ke TT5 dan TT5 Maze Park di sini pada Khamis.
Saarani (empat dari kanan) bersama ketua-ketua jabatan dan wakil agensi ketika mengadakan lawatan kerja ke TT5 dan TT5 Maze Park di sini pada Khamis.

Jelasnya, difahamkan pada setiap hujung minggu terdapat lebih 1,000 pengunjung setiap hari datang ke TT5 bagi melihat tarikan yang disediakan.

"Kita nak menarik pelancong antarabangsa. Sebenarnya orang-orang tempatan pun berminat dengan tempat-tempat yang seperti ini sebab ada kelainan dari tempat lain. Mungkin orang sudah pergi taman tema air biasa, zoo dan sebagainya tetapi ini tempat baharu.

"Paling penting adalah kapal korek yang satu-satunya masih ada di dunia itu ada di sini iaitu kapal korek yang kelima," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan Taman Tema Animasi Studio (MAPS) di Bandar Meru Raya, Saarani berkata, ia bukan lagi milik kerajaan negeri.

Katanya, taman tema itu merupakan milik sebuah syarikat senaraian awam dan kerajaan negeri tidak boleh memberikan sebarang penjelasan mengenai tempat tersebut.