KPDNHEP Negeri Sembilan rekod 532 kes: Exco

Veerapan (tiga kiri) melihat harga barangan pada program berkenaan pada Khamis.
Veerapan (tiga kiri) melihat harga barangan pada program berkenaan pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 532 kes melibatkan pelbagai kesalahan menerusi pemeriksaan premis di negeri ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, jumlah itu adalah berdasarkan rekod sejak awal Januari hingga 7 Disember lepas.

"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 264 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 (115 kes), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (53 kes) dan Akta Perihal Dagangan 2011 sebanyak 31 kes.

"Sebanyak 29 kes lagi di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Kawalan Bekalan 1961 (23 kes) dan 17 kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Program Walkabout Pemantauan Harga Barangan Sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di sini pada Khamis.

Menurutnya, KPDNHEP negeri juga menerima 410 aduan berkaitan transaksi dalam talian, perkhidmatan yang mengelirukan (148 aduan) dan 28 aduan mengenai iklan mengelirukan.

"Jumlah rampasan bagi kesemua kes berjumlah RM933,154.90, manakala kompaun yang dikenakan pula sebanyak RM219,000 dengan 39,948 premis diperiksa di seluruh negeri," katanya.

Katanya, KPDNHEP negeri dengan kekuatan seramai 108 anggota penguat kuasa akan meningkatkan kehadiran di tempat-tempat terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai bagi mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika melalui kehadiran penguat kuasa.

Artikel Berkaitan:

"Peniaga di negeri ini dinasihatkan untuk mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan, manakala pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka," katanya.