Kerajaan tiada hasrat tarik balik kelulusan lesen jual minuman keras

Tengku Zafrul ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Tengku Zafrul ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan setakat ini tidak berhasrat untuk menarik balik sebarang kelulusan berkaitan perlesenan penjualan minuman keras, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Malah, Tengku Zafrul turut menafikan tohmahan yang menuduhnya telah bertindak membatalkan perkara berkaitan aspek perlesenan tersebut.

Jelas beliau, dasar sedia ada telah menggariskan bahawa penjualan minimum keras secara runcit di premis perlu mempunyai lesen di bawah Akta Eksais 1976 dan sebarang perlesenan penjualannya perlu mendapat kelulusan Lembaga Pelesenan selaras dengan Seksyen 35, Akta Eksais 1976.

Aspek perlesenan penjualan minuman keras itu adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Perlesenan yang dilantik oleh perwakilan kuasa Menteri Kewangan kepada menteri besar atau ketua menteri melalui perintah yang diwartakan pada 1977, kata beliau.

"Sehubungan itu, dakwaan atau tohmahan bahawa Menteri Kewangan telah membatalkan perwakilan kuasa tersebut adalah tidak benar. Terdapat kekeliruan dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan lesen penjualan minuman keras ini di peringkat negeri.

"Saya ingin memberi jaminan sekali lagi bahawa perwakilan kuasa melalui perintah yang diwartakan pada 1977 masih kekal. Saya juga telah mengarahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan kekeliruan ini tidak berulang dan perlesenan penjualan minuman keras kekal di bawah bidang kuasa Lembaga Perlesenan," katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Tony Pua Kiam Wee (PH-Damansara) mengenai alasan Kementerian Kewangan tidak membatalkan secara langsung perintah perlesenan penjualan minum keras supaya tiada kuasa perlu diturunkan kepada kerajaan negeri.

Pada Selasa lepas, Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi catatan di laman Facebook beliau memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan telah mengarahkan JKDM untuk membatalkan dasar baharu perlesenan arak untuk restoran dan kedai kopi.

Artikel Berkaitan:

Menurut Tengku Zafrul, tindakan sewajarnya akan diambil bagi menyelesaikan perkara tersebut selewat-lewatnya menjelang hujung tahun ini, 31 Disember 2021.

"Oleh itu, sebarang isu berhubung pelesenan atau pengecualian daripada pelesenan adalah tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri sepenuhnya," kata beliau. - Bernama