Mahsuri Food, Ikhlas, Mahar bantu 1,200 pelarian Syria

Mohd Jazri (kiri) menyerahkan produk Mahsuri kepada Jismi sambil disaksikan oleh Mohd Nor Effendi (tengah) di Kuala Lumpur pada Selasa.
Mohd Jazri (kiri) menyerahkan produk Mahsuri kepada Jismi sambil disaksikan oleh Mohd Nor Effendi (tengah) di Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat pengeluar kicap dan sos masakan buatan tempatan, Mahsuri Food Sdn Bhd (Mahsuri Food) dengan kerjasama ikhlas.com (Ikhlas) serta Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) berganding bahu mengumpul bahan makanan asas untuk dijadikan bakul makanan bagi membantu pelarian Syria di sekitar Kajang, Selangor.

Ketua Komersial Mahsuri Food, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, pihaknya menyumbang sebanyak 1,200 botol produk Mahsuri Food iaitu Mahsuri Kicap Manis Pedas kepada Mahar untuk program bakul makanan tersebut.

Mohd Jazri
Mohd Jazri

Menurutnya, Mahar kemudiannya akan mengagihkan produk berkenaan bersama barangan keperluan asas lain seperti beras, biskut, makanan tin, bihun, sos tiram, kicap, makanan tin kepada 1,200 keluarga pelarian Syria di sekitar Kajang pada Jumaat ini.

“Ini merupakan kerjasama kali pertama dengan pihak Mahar, yang mana kami sumbangkan sebanyak 1,200 produk Mahsuri iaitu produk terlaris kami, Mahsuri Kicap Manis Pedas.

“Mahar kemudian akan mengagihkan produk tersebut kepada golongan yang memerlukan di sana,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, Mohd Jazri berkata, Mahsuri Food telah bekerjasama dengan lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO) lain sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu untuk program seumpama ini.

Ujarnya, pihak Mahsuri Food sedang merangka satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membangunkan usahawan bersama beberapa NGO lain pada tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

Seiring dengan program bantuan bakul makanan yang masih berterusan, Mohd Jazri berkata, program keusahawanan tersebut akan dilaksanakan di Selangor dan Kuala Lumpur sebagai satu projek rintis bagi melihat keberkesanan inisiatif tersebut.

“Kita mahu memberikan peluang kepada anak-anak tempatan untuk bangkit semula, jadi kita akan buat program keusahawanan di samping meneruskan aktiviti-aktiviti membantu NGO seperti ini.

“Perbincangan akan dilakukan dengan beberapa operator makanan untuk melihat rancangan tersebut. Mungkin kita mulakan program berkenaan di Selangor dan Kuala Lumpur sebagai projek rintis.

“Dalam usaha melahirkan sekitar 10 usahawan berpotensi kita juga perlu melihat rancangan kerjasama daripada rakan-rakan NGO yang lain. Kita perlu kaji perkara tersebut terlebih dahulu,” katanya.

Pelbagai inisiatif

Dalam pada itu, Pengerusi Mahar, Jismi Johari berkata, pihaknya telah mengadakan pelbagai inisiatif lain seumpama program ini untuk membantu para pelarian dari pelbagai negara.

Jismi
Jismi

Antaranya seperti program Ehsan Food Bank, di mana pihaknya akan menyediakan pek makanan kepada bukan sahaja membantu golongan pelarian, tapi semua golongan yang terkesan seperti B40 dan ia berjaya memanfaatkan seramai 46,000 orang setakat ini.

“Mahar juga mempunyai inisiatif di luar negara apabila bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan dengan melancarkan projek bantuan di 15 buah negara.

“Selain itu, kita juga mempunyai tabung pelarian bagi membantu mereka yang terjejas akibat PKP. Tiada sumbangan yang kecil, semuanya diambil kira untuk membantu golongan tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Komersial Ikhlas, Mohd Nor Effendi Yahya berkata, pihaknya bertindak sebagai penyedia platform kepada mana-mana NGO yang ingin mengumpulkan dana bagi pelbagai kempen bantuan untuk membantu golongan sasaran.

Mohd Nor Effendi
Mohd Nor Effendi

Menurut beliau, hasil wang terkumpul untuk kempen yang dibuat oleh NGO terbabit disalurkan menerusi Ikhlas kepada badan itu dan akan melalui proses audit untuk memastikan duit tersebut dibelanjakan berdasarkan objektif mereka.

“Selain daripada NGO yang memastikan penerima bantuan yang layak, wakil kami iaitu Sahabat Ikhlas yang berada di seluruh Malaysia turut membantu proses tersebut di mana kebanyakan mereka merupakan amil zakat di masjid.

“Namun ada masanya kami juga akan menambah peruntukan sedia ada bagi mencukupkan jumlah tersebut,” jelasnya.

Mengulas lanjut, selain daripada kempen bantuan untuk pelarian seperti yang diadakan oleh Mahar, ikhlas.com turut membuka beberapa kategori kempen lain yang ditawarkan dalam portal ikhlas.com seperti bantuan untuk masjid, surau, madrasah, bantuan kecemasan, dan rumah kebajikan.

Mohd Nor Effendi berkata, kempen-kempen tersebut mempunyai objektif masing-masing seperti baik pulih bangunan dan tambah baik kemudahan.