Baik, buruk ayam import

Tindakan kerajaan mengimport ayam sejuk beku merupakan langkah bijak bagi menstabilkan harga keperluan makanan dalam keadaan rakyat tertekan dengan peningkatan kos sara hidup sekarang.
Tindakan kerajaan mengimport ayam sejuk beku merupakan langkah bijak bagi menstabilkan harga keperluan makanan dalam keadaan rakyat tertekan dengan peningkatan kos sara hidup sekarang.
A
A
A

TINDAKAN kerajaan mengimport ayam sejuk beku merupakan langkah bijak bagi menstabilkan harga keperluan makanan dalam keadaan rakyat tertekan dengan peningkatan kos sara hidup sekarang.

Dengan lambakan ayam di pasaran, penawaran dan permintaan akan menjadi seimbang sekali gus ia bakal melegakan keresahan rakyat berkenaan isu harga ayam sejak beberapa bulan lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan mengimport 200 hingga 300 kontena ayam sejuk beku seawal minggu ini.

Begitu juga dengan ikan sejuk beku yang disimpan sebagai stok di bawah program Q'Fish dilambakkan dalam pasaran sebagai langkah segera menstabilkan harga kerana turut menunjukkan peningkatan atas faktor cuaca iaitu musim tengkujuh.

Dari sudut pengguna, ia suatu berita yang sangat dinantikan kerana mempunyai pilihan untuk mendapatkan bekalan pada harga lebih murah.

Langkah mengimport ayam sejuk beku dari negara luar seperti China dan Thailand mungkin penyelesaian jangka pendek kepada peningkatan harga ayam tempatan kerana perlu mengambil kira kelangsungan industri berkenaan.

Bagaimanapun, pada masa kini, sudah ada kedengaran dan rungutan daripada pemborong dan pembekal ayam yang meminta kerajaan tidak meneruskan hasrat membawa masuk ayam import.

Ini kerana jika diteruskan ia berisiko menjejaskan pusat-pusat penyembelihan ayam kecil-kecilan terutama milik bumiputera kerana tidak mampu bersaing dengan tawaran ayam import.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, persatuan penternak-penternak ayam menjelaskan bahawa pihaknya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya di peringkat ladang tetapi terpaksa melakukannya susulan kenaikan kos dedak.

Antara sebab lain yang menyumbang kepada kenaikan tersebut ialah kekurangan pekerja asing dan faktor cuaca yang memainkan peranan penting dalam soal tumbesaran ayam di ladang.

Justeru, dalam hal ini kerajaan perlu mengambil langkah menang-menang bagi menjamin rakyat tidak berdepan dengan peningkatan harga ayam manakala pengusaha pula tidak gulung tikar.