X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Isu Kampong Bharu: Perlu beri nafas baharu, bukan usir

Aizuddin
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan disaran merangka satu pelan komprehensif merangkumi pelbagai program yang lebih berkonsepkan ‘merakyatkan komuniti’ untuk menjamin hak penduduk Kampong Bharu.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Aizuddin Ariffin berkata, status hak pemilikan tanah penduduk kampung terbabit perlu dikekalkan dan diberikan nafas baharu, bukannya diberikan tekanan serta diusir.

Beliau berkata, pihaknya percaya dengan kerangka program yang terurus melibatkan 'stakeholder', Kampong Bharu sebenarnya mampu diangkat sebagai satu khazanah warisan bertaraf dunia untuk negara.

“Setiap kali bertukar kerajaan, semua sibuk mahu membangunkan Kampong Bharu dengan projek berskala besar yang sebenarnya menghakis ekuiti penduduk untuk terus berada dalam kawasan 'prime area', terutamanya di tengah-tengah Kuala Lumpur.

“Untuk itu, mereka sanggup bertindak zalim, tidak adil kepada penduduk dan ia harus dihentikan serta-merta,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Timbalan Ketua AMK Kedah itu, Kampong Bharu adalah tapak warisan yang harus dipertahankan dan dipelihara, bukannya dimusnahkan mengikut kehendak pemaju yang rakus.

“Pandangan saya mungkin berbeza dengan banyak pihak. Namun dalam kepesatan yang berlaku di tengah kota dengan bangunan pencakar langit, konsep ‘Urban Resiliance' boleh diadaptasi bagi mengimbangi kepesatan dan kemodenan Bandar Raya Kuala Lumpur,” ujarnya.

Justeru, Aizuddin berharap kerajaan dan pentadbir berkaitan melihat isu Kampong Bharu dengan perspektif yang lebih luas dan lebih kreatif.

“Libat urus ini mestilah ada 'political will ' atau kesungguhan kerajaan. Agenda bagi memperkasakan ekonomi penduduk setempat harus menjadi keutamaan selain menyediakan infrastruktur terbaik.

“Diharap ada pengumuman baharu yang lebih menguntungkan semua pihak tanpa perlu memusnahkan Kampong Bharu yang boleh dibangunkan sebagai sektor pelancongan atau seumpamanya,” jelasnya.

Terbaharu, pada Isnin, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan, pampasan sebenar ke atas penduduk yang terlibat dengan projek pembangunan semula kawasan itu adalah lebih tinggi daripada nilai yang didakwa kurang RM250,000.

Namun menurutnya, jumlah pampasan sebenar akan dimaklumkan kepada penduduk selepas bertemu dengan pemaju.

Shahidan dilaporkan berkata, kerajaan ketika ini sedang meneruskan pembangunan Kampong Bharu melalui pendekatan baharu iaitu pembangunan secara organik dan berfasa mengikut blok pembangunan.

Pembangunan Kampong Bharu secara usahasama antara pemaju dan pemilik tanah atau petak mengikut blok-blok pembangunan akan dilaksanakan dalam tiga fasa, iaitu pembangunan jangka pendek 2021-2025, pembangunan jangka sederhana 2021-2034 dan pembangunan jangka panjang 2021-2040.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!