Pelantikan Wan Izzana berdasarkan merit, kelayakan: Annuar Musa

Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh
Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) adalah berdasarkan merit dan kelayakannya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, pelantikan itu dibuat oleh Kementerian Kewangan mengikut peraturan sedia ada dengan berlandaskan rekod prestasi dan pengalaman Wan Izzana Fatimah Zabedah.

“Beliau merupakan seorang wanita muda yang mempunyai kelulusan (akademik) tinggi, berkelulusan daripada Imperial College dan Harvard serta mempunyai rekod prestasi dan pengalaman tersendiri, cuma beliau dikaitkan dengan masalah yang dihadapi keluarganya.

“...beliau harus diberi peluang. Kementerian (Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berkeyakinan beliau boleh memberi sumbangan dan membawa suara kepada golongan wanita muda dalam syarikat penting seperti MDEC,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi KKMM di Dewan Rakyat pada Rabu.

Annuar berkata, jawatan yang disandang Wan Izzana Fatimah Zabedah adalah bukan eksekutif dan tidak memberikannya kuasa mengendalikan operasi harian (day-to-day operation) syarikat.

Sebelum itu, beberapa ahli Parlimen pembangkang ketika sesi perbahasan membangkitkan isu pelantikan Wan Izzana Fatimah Zabedah dalam MDEC antaranya Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan).

"Saya rasa kami perlukan jawapan mengapa pelantikan ini dibuat memandangkan beliau juga memegang jawatan-jawatan lain...takkan lah negara kita ketandusan pakar-pakar yang boleh duduk dalam MDEC untuk memberikan nasihat yang baik, bernas dan progresif," kata Kasthuriraani.

Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) pula berkata, banyak pihak yang mempersoalkan kelayakan Wan Izzana Fatimah Zabedah dalam memberikan pendapat berhubung aspek ekonomi digital, selain Wong Shu Qi (PH-Kluang) meminta penjelasan mengenai kriteria pemilihan itu.

Artikel Berkaitan:

Wan Izzana Fatimah Zabedah, anak kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif MDEC berkuat kuasa 1 Disember lepas.-- Bernama