Polis Kedah tawar diskaun saman sehingga 80 peratus

Mohd Rozee
Mohd Rozee
A
A
A

ALOR SETAR - Penduduk di Kedah boleh mendapatkan pengurangan bayaran saman terpilih sehingga 80 peratus dengan had minima sebanyak RM30 bermula Khamis hingga Ahad depan.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Rozee Shaari berkata, semua pembayaran kompaun boleh dibuat di Kaunter Bayaran Saman Trafik Kontinjen Kedah dan Aplikasi Mybayar Saman sepanjang tempoh empat hari termasuk hari cuti umum Jumaat dan Sabtu.

Beliau berkata, tawaran itu bersempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

"Bagaimanapun, tawaran itu tidak termasuk kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak patuhi isyarat lampu merah dan memotong di garisan berkembar.

"Pengurangan kompaun juga tidak ditawarkan bagi kesalahan dikategorikan tidak boleh kompaun (NC), kesalahan yang berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat dan kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, orang ramai mahupun syarikat dan entiti perniagaan boleh mendaftar melalui Portal Rasmi PDRM atau pautan https://mybayarsaman@rmp.gov.my/.

Katanya, mereka juga boleh muat turun aplikasi di Platform Google Playstore, Apple Appstore dan Huawei Appgallery dan seterusnya membuat pembayaran melalui aplikasi tersebut.

Dalam perkembangan sama, orang ramai diminta supaya mematuhi prosedur standard operasi (SOP) semasa berurusan di kaunter bayaran trafik bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Mohd Rozee memaklumkan pembayaran secara dalam talian adalah digalakkan.