Rakyat Sarawak matang menilai maklumat di media sosial

Abang Johari menyempurnakan simbolik pecah tanah Pembinaan Pusat Penjaja Kota Sentosa pada Rabu. - Foto Japen Sarawak
Abang Johari menyempurnakan simbolik pecah tanah Pembinaan Pusat Penjaja Kota Sentosa pada Rabu. - Foto Japen Sarawak
A
A
A

KOTA SENTOSA - Rakyat Sarawak sudah matang untuk menilai segala baik buruk perkara yang disebarkan menerusi media sosial.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, rakyat di Sarawak sudah mengetahui rekod pencapaian kerajaan di bawah kepimpinannya dan yakin mereka menilai dengan betul.

Kata Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS), banyak isu dicetuskan oleh blok pembangkang untuk menunjukkan kelemahan kerajaan GPS selama ini yang dikatakan seperti "omong kosong".

“Menerusi media sosial sekarang ini, banyak perkara yang baik dan betul, bagaimanapun banyak juga yang salah dan fitnah. Saya bukan ada lampu Aladin, cakap hari ini, esok terus siap.

“Tetapi, rakyat Sarawak bijak. Saya serahkan kepada mereka (rakyat) untuk menilai apa yang disebarkan di media sosial tersebut,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pusat Penjaja Kota Sentosa, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Abang Johari mempertikaikan kemampuan pihak pembangkang untuk menunaikan janji termasuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) suatu ketika dahulu.

“Ada pihak dahulu cakap sekiranya mereka menjadi kerajaan, mereka akan mengiktiraf UEC, tetapi bila sudah menjadi kerajaan, tiada apa-apa pun yang berlaku.

“Bahkan kami GPS sebenarnya terlebih dahulu mengiktiraf UEC. Itu tidak termasuk dengan janji royalti minyak dan gas asli 20 peratus yang mereka janji, sampai hari ini tiada khabar berita. Ini adalah perbezaan GPS dengan mereka. Apa yang kami (GPS) cakap, akan buat, kalau tiada duit, usahakan, sebab bekerja kuat demi rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu juga memberitahu, bahawa beliau memperuntukkan RM10 juta setiap tahun bagi membantu pembangunan sekolah Cina di Sarawak seperti dipohon oleh Presiden Parti Rakyat Bersatu (SUPP) Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Sim dan ahli SUPP yang lain selama ini kerana bertungkus lumus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan mereka.