Dakwa dilanggar kereta klon, pembantu tadbir tuntut keadilan

Mohammad Hamali (kiri) menunjukkan kereta yang melanggarnya dalam kejadian pada 14 Mei 2019 di Taman Pulai Perdana di sini.
Mohammad Hamali (kiri) menunjukkan kereta yang melanggarnya dalam kejadian pada 14 Mei 2019 di Taman Pulai Perdana di sini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Terlantar selama lapan bulan di atas katil serta perlu menjalani prosedur pembedahan selama dua kali antara penderitaan yang dialami seorang pembantu tadbir sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) swasta di sini selepas dia terbabit dalam satu kemalangan pada Mei 2019 lalu.

Lebih malang, kemalangan dialami Mohammad Hamali Roslan, 30, itu turut mengakibatkan dirinya tidak boleh berdiri lama dan berlari akibat kedua-dua tulang betis kirinya yang patah.

Menceritakan pengalaman pahit tersebut, kejadian yang berlaku di persimpangan Jalan Meranti 3, Taman Sri Pulai di sini pada 14 Mei 2019 itu ketika dia dalam perjalanan pulang dari kerja.

"Kejadian berlaku dalam tempohn 10 minit sebelum berbuka puasa. Sebaik berhenti di lampu isyarat dan tiba giliran saya untuk bergerak, sebuah kereta jenis Honda Odyssey berwarna biru gelap datang dari susur kiri lalu merempuh saya kerana mahu membuat pusingan U.

"Selepas dilanggar, saya memang tidak boleh fikir apa-apa kecuali minta pemandu kereta itu untuk gerakkan keretanya kerana saya tidak boleh rasa kaki saya. Pemandu itu juga pada mulanya seperti mahu lari, tetapi saya bernasib baik kerana orang awam menahannya," kata beliau kepada pemberita pada Selasa.

Mohammad Hamali berkata, dia kemudiannya dikejarkan ke hospital dengan meminta pemandu kereta yang dikenali sebagai Ramlan Mamat.

Katanya, ketika itu dia tidak mensyaki apa-apa dan hanya berharap pemandu itu membuat laporan polis seperti biasa kerana mahu membuat tuntutan insurans.

"Peringkat awal, saya memang tidak mensyaki apa-apa sehinggalah kes ini berlarutan sehingga lebih empat bulan apabila saya dimaklumkan oleh pihak berkaitan bahawa saya tidak boleh membuat apa-apa tuntutan kerana kereta itu tidak dilindungi insurans.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini membuatkan saya musykil. Saya kemudiannya buat pemeriksaan sendiri melalui pelbagai saluran termasuk di balai polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Saya mula sedar bahawa kereta itu adalah kereta klon apabila nombor pendaftaran yang sama digunakan oleh sebuah lagi kereta Honda Odyssey lain di Kedah yang ketika itu dalam proses penjualan di kedai," katanya.

Menurut beliau, dakwaan itu juga dikuatkan apabila dia dimaklumkan bahawa kereta dengan nombor pendaftaran sama terlibat dengan sebuah insiden kejar mengejar antara pihak polis dan seorang penjenayah di Maran, Pahang pada Mac 2021.

"Melalui kes ini, sebenarnya ia telah tular di laman sosial. Menurut kenyataan Polis Daerah Maran, kereta yang dipandu ini turut disiasat di bawah Seksyen 108(3)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Dalam tempoh ini juga saya telah berhubung dengan pemilik kereta sebenar di Perak supaya membuat laporan polis dan mengesahkan pemilikan keretanya. Ketika ini baharu saya sedar yang kereta asal untuk nombor pendaftaran ini adalah berwarna putih dan bukan biru gelap seperti yang melanggar saya," katanya.

Bapa kepada seorang anak itu juga memaklumkan, dia juga telah menggunakan pelbagai saluran termasuk berjumpa dengan pihak polis dan JPJ untuk menyelesaikan kes berkenaan, namun semuanya menemui jalan buntu.

"Jujurnya, saya kecewa dengan perkhidmatan polis dan JPJ. Kes saya ini seakan tidak diendahkan walaupun bukti-bukti telah disertakan. Dari awal saya cuma dimaklumkan bahawa kes ini selesai dan pemandu telah disaman.

"Saya bukan mahu meragui, tetapi adakah saman RM300 itu memadai? Di mana keadilan saya yang dilanggar oleh kereta tidak berdaftar tetapi boleh terlepas? Saya bukan menuntut wang ringgit tetapi keadilan agar perkara ini tidak berulang kepada orang lain pula.

"Saya harap perkara ini dapat menyedarkan pihak-pihak berkaitan, untuk bawa kes ke mahkamah saya tidak mampu, tetapi saya harap ada jalan penyelesaian. Kereta klon adalah jenayah dan tidak adil ia terlepas begitu sahaja," katanya.