Pembangunan ekonomi luar bandar jadi keutamaan

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

SHAH ALAM - Aspek pembangunan ekonomi luar bandar menjadi elemen penting kerajaan dalam usaha memulihkan masyarakat di luar bandar yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan mengambil serius terhadap kepentingan pembangunan infrastruktur termasuk capaian internet kepada masyarakat luar bandar dalam fasa pemulihan tersebut.

"Ini termasuk pengenalan dan latihan kepada penggunaan teknologi terkini dalam bidang pertanian, pemerkasaan latihan dalam ekonomi digital, kerjasama dalam bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keusahawanan luar bandar selain pemerkasaan kepimpinan belia dan wanita luar bandar," katanya dalam kenyataan media sempena Persidangan African-Asian Rural Development Organization (The 20th Conference of AARDO) secara dalam talian, pada Rabu.

Persidangan tahunan di peringkat menteri itu diadakan bagi membincangkan isu-isu penbangunan luar bandar dan hubungan kerjasama dalam kalangan negara anggota AARDO dari benua Afrika dan Asia.

Dalam persidangan kali ini, Malaysia turut menyerahkan jawatan Pengerusi AARDO kepada Kerajaan Ghana selepas menerajui pertubuhan itu selama tiga tahun mulai 2018 sehingga 2021.

Sepanjang tempoh sebagai Pengerusi AARDO, Kerangka Pelan Strategik 2021 hingga 2030 telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa beliau selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika mempengerusikan Persidangan AARDO Ke-19 pada tahun 2018 yang diadakan di Kuala Lumpur.

Selain itu,seramai 2,700 orang peserta terlibat dalam aktiviti pembangunan sumber manusia seperti kursus dan latihan, perkongsian pakar dan juga khidmat nasihat.

AARDO turut memperkenalkan latihan secara dalam talian selepas wabak Covid-19 melanda dunia.

Artikel Berkaitan:

"AARDO boleh memainkan peranan lebih aktif untuk membantu negara negara ahli dalam usaha pemulihan pasca Covid-19," katanya.