X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

763 lagi rumah PR1MA akan dibina di Kuantan

736 buah rumah teres dua tingkat mampu milik akan dibina dalam Fasa 2 Residensi D’Marina, di Kuantan, Pahang, tahun depan.
A
A

PETALING JAYA -736 buah rumah teres dua tingkat mampu milik akan dibina dalam Fasa 2 Residensi D’Marina, di Kuantan, Pahang, tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, projek itu akan dibahagikan kepada enam peringkat dengan pembinaan bermula dari Julai 2022 hingga Disember 2026.

“Setiap unit rumah di bawah Fasa 2 berkeluasan 1,500 kaki persegi dan berharga antara RM272,700 hingga RM299,970. Unit kediaman di bawah fasa ini akan dibuka untuk jualan pada Januari 2022,” kata beliau selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian projek itu antara Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Datuk Mohd Nazri Md Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Sinergi Dayang Sdn Bhd (Sinergi Dayang), Azlan Shah Mohd Yusoh.

Projek itu merupakan usaha sama antara kementerian itu menerusi PR1MA dengan Sinergi Dayang, sebuah anak syarikat WZ Satu Bhd.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, kementerian itu menyasarkan untuk membina lebih daripada 500,000 rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

“Ini sejajar dengan peningkatan permintaan rumah mampu milik berkualiti, terutamanya di lokasi strategik yang mengalami pembangunan pesat,” katanya.

Fasa 2 Residensi D’Marina merupakan kesinambungan Fasa 1 projek itu yang sedang dibangunkan oleh Sinergi Dayang, terdiri daripada 523 unit rumah teres setingkat dan dua tingkat, dijadualkan siap Januari 2023.- Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!