Perak sambut baik pelaksanaan had umur belia

Khairul Shahril menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara Negeri Perak kepada Ezatul Farita sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, pada Rabu.
Khairul Shahril menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara Negeri Perak kepada Ezatul Farita sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak mengalu-alukan pelaksanaan Akta 668 melibatkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun yang akan dikuatkuasakan mulai tahun hadapan.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed bagaimanapun berkata, pihaknya turut melihat pandangan penggerak belia yang mahu agar umur transisi 35 tahun perlu diraikan.

Menurutnya, pelaksanaan had umur belia tersebut akan memberikan implikasi yang besar kepada golongan muda.

"Sewajarnya kita sambut selain perlu dilihat untuk sentiasa meraikan orang muda kerana di peringkat dunia terlalu banyak negara meletakkan umur belia berusia 15-30 tahun. Jadi perlu dilihat seiring dengan keadaan semasa supaya belia tidak ketinggalan dalam apa juga ruang dan peluang di peringkat tertinggi.

"Di Perak juga kita sedang sesuaikan kerana sebelum ini had umur belia sehingga 40 tahu. Jadi bila had umur belia ini dilaksanakan 30 tahun ke bawah, saya juga memikirkan kelompongan kepada mereka yang berusia 31 hingga 40 tahun yang terkeluar daripada kelompok belia itu," katanya kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar Perak merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Rabu.

Hadir sama, Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Aswannudin Hariffudin dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak, Mohd Soufi Mohd Ibrahim.

Menurutnya, pelaksanaan dasar had umur belia itu juga akan memberikan kesan kepada perancangan terhadap program khas untuk belia seperti perumahan belia, usahawan belia dan sebagainya.

Khairul Shahril menjelaskan, secara peribadi beliau mahu had umur belia diturunkan kepada 35 tahun terlebih dahulu sebelum dilaksanakan sepenuhnya had umur 30 tahun itu.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak Tahun 2021, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota itu berkata, kerajaan negeri menambah tujuh anugerah khas selain tiga anugerah sedia ada yang ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan.

"Di Perak sejak tahun lalu kita tambah tujuh kategori khas kerana kita fikirkan belia di Perak ini terlalu ramai yang berpotensi dan memberikan banyak sumbangan.

"Kita harap pada tahun hadapan sambutan hari belia dilaksanakan di peringkat daerah terlebih dahulu dan kemudian di negeri. Kita nak lihat tokoh-tokoh belia ini dilahirkan di peringkat akar umbi," jelasnya.

Pada majlis itu, Anugerah Perdana Belia Negara Negeri Perak bagi kategori lelaki diberikan kepada Muhammad Naim Al-Amin Sharudin manakala kategori wanita pula menjadi milik Ezatul Farita Rohawi.