'PAFA digesa selesai segera kemelut'

Khairul Shahril (tengah) menerima plak Hari Belia Negara daripada Aswannudin ketika menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Rabu.
Khairul Shahril (tengah) menerima plak Hari Belia Negara daripada Aswannudin ketika menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Rabu.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) diharap dapat menyelesaikan segera kemelut yang sedang melanda badan induk bola sepak negeri itu kerana situasi itu meresahkan peminat.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, secara dasarnya kerajaan negeri tidak boleh masuk campur dalam masalah yang dihadapi persatuan itu.

Menurutnya, PAFA mempunyai entiti dan perlembagaan sendiri yang tidak boleh ada sebarang campur tangan pihak luar untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku.

"Jadi saya tak nak komen cumanya selaku Exco yang memegang portfolio sukan, saya mengharapkan kemelut ini diselesaikan dengan segera. Mereka ada perlembagaan sendiri kita tak boleh nak masuk campur dan sebagainya. Mungkin ada yang kita tak tahu dengan tindakan mereka itu memenuhi perlembagaan mereka.

"Sebenarnya keresahan peminat bola sepak kita ini dah terlalu lama, jadi jangan teruskan lagi keresahan ini. Kita cubalah bagi kelegaan kalau tak dapat jadi garam, janganlah jadi langau. Kalau tak boleh nak memperelokkan janganlah kita merosakkan. Itu konsep yang cuba saya sampaikan," katanya kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar Perak merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Rabu.

Hadir sama, Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Aswannudin Hariffudin dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak, Mohd Soufi Mohd Ibrahim.

Kemelut di dalam PAFA tercetus apabila Pemangku Presiden PAFA, Datuk Mohammad Yadzan Mohamed mengumumkan pengguguran keahlian 11 Persatuan Bola Sepak (PB) di negeri ini sebagai ahli gabungan PAFA pada 23 November lalu.

Tindakan memecat ahli gabungan itu diambil kerana berlaku pelanggaran Perlembagaan Artikel 80 berhubung keahlian yang mana mengikut peraturan itu, tiada ahli gabungan boleh menjadi ahli kepada dua persatuan setelah mendapati 11 PB itu menjadi ahli gabungan PB Melayu Perak.

Artikel Berkaitan:

Mereka adalah PB Perak Tengah, Tapah, Kampar, Gerik, Lenggong, Hulu Perak, Kampung Gajah, Ipoh, Larut Matang & Selama, Hilir Perak, Kerian dan PB Melayu Perak.

Hilir Perak bagaimanapun tidak menjadi ahli gabungan Melayu Perak, oleh yang demikian mereka tidak dipecat.