X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

Kerajaan wajar longgarkan syarat rakyat berniaga

Hasni (tengah) dan Siew Kiong (kiri) beramah mesra dengan penerima dalam satu majlis penyerahan sumbangan di Kota Iskandar, Iskandar Puteri pada Rabu.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Pusat wajar melonggarkan syarat-syarat untuk membolehkan rakyat di negara ini berniaga selepas ekonomi terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Penasihat kepada Menteri Besar Johor, Datuk Tee Siew Kiong berharap, kerajaan Pusat tidak akan meletakkan syarat-syarat baharu untuk mereka menjalankan perniagaan mereka.

"Ini kerana sejak dilanda wabak itu, ini adalah masa untuk mereka memulihkan semula ekonomi masing-masing.

"Dalam pada mereka berniaga, mereka juga secara tidak langsung membantu kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.

"Jadi saya berharap pemimpin pandang serius perkara ini dan tidak meletakkan syarat-syarat baharu yang menyukarkan, sebaliknya memudahkan urusan mereka untuk menjalankan perniagaan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Pertubuhan-Pertubuhan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini pada Rabu.

Dalam majlis tersebut, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menyerahkan replika cek melibatkan peruntukan RM500,000 kepada 21 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan melibatkan kanak-kanak orang kurang upaya, anak yatim piatu dan warga emas.

Sementara itu, beliau turut menafikan dakwaan pembangkang bahawa peruntukan diberikan kerajaan kepada yayasan itu diagihkan kepada NGO yang 'mesra' kerajaan sahaja.

Beliau menegaskan, peruntukan yayasan tersebut diagihkan tanpa mengira atau mengetahui latar belakang atau kecenderungan politik NGO terbabit yang menerima sumbangan.

"Saya tidak tahu latar belakang mereka, sama ada mereka sokong parti kerajaan atau sebelah sana (pembangkang), saya hanya nampak mereka bekerja kuat untuk jaga kebajikan masyarakat yang memerlukan.

"Tiada, itu saya nafi dan saya anggap dakwaan itu dibuat oleh mereka yang mempunyai agenda politik dalam memburukkan nama baik Yayasan Sultanah Fatimah," ujarnya.

Sebelum ini, terdapat dakwaan pembangkang yang mengatakan peruntukan diberi kerajaan Johor kepada yayasan berkenaan lebih banyak diagihkan kepada NGO yang memihak kepada kerajaan sahaja.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!