Dewan Negara lulus usul ungkai ordinan darurat

Dewan Rakyat -Foto Bernama
Dewan Rakyat -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Negara hari ini sebulat suara meluluskan usul bagi mengungkai tujuh ordinan darurat selepas ia bentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan dibahaskan oleh enam Ahli Dewan Negara.

Ia meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.

Selain itu, ia turut meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021, Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Mas Ermieyati berkata, kriteria yang digunakan untuk mengisytiharkan sesuatu darurat adalah apabila terdapat perkara yang boleh mengancam keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam sebagaimana termaktub dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Proklamasi Darurat (susulan penularan Covid-19) merupakan langkah proaktif dan pilihan terbaik untuk memastikan keadaan tidak bertambah teruk dan setelah mendapatkan pandangan, ia wajar supaya rakyat tidak terjejas teruk apabila Covid-19 melanda dunia,” kata Mas Ermieyati semasa menggulung perbahasan tersebut.

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan pengungkaian ketujuh-tujuh Ordinan itu tidak menjejaskan pengawalan ancaman pandemik Covid-19 demi kesejahteraan rakyat, keselamatan dan ketenteraman awam serta pemulihan ekonomi negara.

Selain itu, Mas Ermieyati turut membentangkan Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali kedua.

Dewan Negara kemudian meluluskan rang undang-undang itu tanpa pindaan dengan suara majoriti.

Artikel Berkaitan:

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.