13 ahli sindiket edar dadah guna kurier diberkas

Razarudin (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas daripada dua sindiket.
Razarudin (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas daripada dua sindiket.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah selepas menahan 13 individu termasuk seorang wanita dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada 29 November dan 30 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, kesemua suspek yang ditahan itu berusia 21 hingga 53 tahun.

"Kita turut merampas dadah jenis syabu dengan anggaran berat 285.47 kilogram bernilai RM10.271 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Razarudin berkata, pihaknya percaya sindiket dadah itu bukan sahaja menjual dadah untuk pasaran di Sabah dan Sarawak malah turut diseludup ke Indonesia, Australia dan Filipina.

"Kita percaya mereka aktif sejak setahun lalu dengan menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar dadah tersebut," katanya.

Beliau berkata, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana polis menyita aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM194,200.

"Kita telah menyita tiga kereta, tujuh utas barang kemas dan satu utas jam tangan," katanya.

Beliau berkata, rekod turut mendapati 11 suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Saringan awal air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Razarudin memaklumkan kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.