Cheng Hoe ubah taktikal, tidak ambil mudah ancaman Laos

Cheng Hoe tidak mahu memandang rendah kemampuan pasukan Laos dalam perlawanan Kumpulan B saingan Piala AFF di Stadium Bishan, Singapura, esok.
Cheng Hoe tidak mahu memandang rendah kemampuan pasukan Laos dalam perlawanan Kumpulan B saingan Piala AFF di Stadium Bishan, Singapura, esok.
A
A
A

DI ATAS kertas, pasukan Laos adalah lawan mudah buat skuad Harimau Malaya namun ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe tidak mahu memandang rendah kemampuan pasukan di ranking ke-185 dalam perlawanan Kumpulan B saingan Piala AFF di Stadium Bishan, Singapura, esok.

Cheng Hoe sudah pastinya lebih berwaspada dengan peningkatan dipamerkan pasukan Laos yang telah mengejutkan pasukan di ranking ke-99 dan juga pasukan pilihan Vietnam, 2-0 dalam saingan kumpulan sama, pada Isnin.

Diperkuat dengan kehadiran penyerang kelahiran Perancis Billy Ketkeophomphone yang beraksi dengan pasukan Ligue 2 USL Dunkerque, peningkatan ditunjukkan skuad bimbingan jurulatih dari Singapura V Selvaraj memberi amaran kepada Cheng Hoe dan anak buahnya yang perlu melakukan perubahan taktikal.

Pakar taktikal berusia 53 tahun itu berkata, walaupun sedikit mencabar dalam membentuk kombinasi pemain namun beliau yakin kemasukan pemain gantian pada separuh masa kedua ketika menentang Kemboja dua hari lepas, menghidupkan permainan.

Beliau berkata, kemungkinan besar M Kogileswaran Raj, Luqman Hakim Shamsudin, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi berada dalam kesebelasan utama esok selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan ketika menentang Kemboja menyaksikan skuad negara menang 3-1.

“Billy sangat mengagumkan, dalam kejohanan ini, dia kelihatan berbahaya, tajam dan dapat bekerjasama dengan sangat baik. Cara mereka bertahan sangat berdisiplin, terutama di benteng terakhir, mereka sangat kompak.

“Tidak mudah untuk berdepan barisan pemain muda Laos, yang mempunyai semangat berpasukan tinggi tapi kita perlu mencari jalan mendapatkan keputusan terbaik menentang mereka. Kami barisan jurulatih sedang bincang untuk mendapatkan formula atau kombinasi terbaik bagi dapatkan keputusan positif.

“Saya rasa setelah meraih kemenangan yang agak baik dengan Kemboja, sedikit sebanyak ia memberi keyakinan buat pemain kita untuk aksi menentang Laos, esok,” katanya pada sidang media praperlawanan dari Singapura, secara maya pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Mengenai penyerang naturalisasi Guilherme de Paula yang dikatakan kecewa selepas digantikan pada minit ke-65, Cheng Hoe berkata pemain berusia 35 tahun itu masih bermotivasi tinggi dan mampu memberikan fokus serta bermain dengan baik jika diberi peluang esok.

Bercakap tentang penjaga gol baharu setelah Muhammad Khairulazhan Mohd Khalid dan pemain sayap Muhammad Faizal Abdul Halim disahkan positif Covid-19, Cheng Hoe berkata, beliau mahu mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Katanya, walaupun barisan kejurulatihan telah memutuskan nama bagi menggantikan Muhammad Khairulazhan tapi mereka masih menunggu dua hari lagi untuk mengetahui sama ada pemain berusia 32 tahun itu mendapat pelepasan menyertai skuad Harimau Malaya.

“Kami tahu jika pemain diuji negatif, dia dapat kembali menyertai pasukan serta merta, jadi, sekarang ini kita berharap dia dapat kembali bersama pasukan secepat mungkin. Hari ini, kita akan jalani ujian, dengan harapan ujian itu menunjukkan keputusan negatif dan kita perlu mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Singapura untuk membenarkan mereka kembali bermain,” katanya. - Bernama