Dividen Tabung Haji dijangka rendah dari tahun lepas?

A
A
A
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan, dividen Tabung Haji (TH) tahun ini akan diisytiharkan lebih rendah berbanding tahun lalu.
“Saya jangkakan Kerajaan PH akan gunakan ‘kisah RM4 bilion’ ini sebagai alasan untuk menyalahkan BN dan mengisytihar dividen yang rendah untuk TH.
“TH di bawah kerajaan PH terpaksa membayar dividen yang sangat rendah tahun ini kerana kerajaan BN telah membayar dividen yang terlebih tinggi untuk tahun-tahun yang lepas.
“Jalan yang paling mudah ialah untuk reka satu cerita untuk menyalahkan BN,” katanya melalui perkongsian di Facebook hari ini.
Terdahulu Najib berkata, ada satu laporan oleh media Singapura yang dimiliki kerajaan Singapura semalam (Ahad), memetik orang dalam yang tidak dinamakan bahawa TH telah kekurangan dana RM4 bilion.
“Tuduhan ini tidak mendakwa RM4 bilion telah dirompak ataupun di curi tetapi mendakwa ada pemalsuan akaun yang membolehkan TH untuk membayar dividen yang lebih tinggi dari sepatutnya untuk tahun-tahun yang lalu.
“Pokoknya ialah ia satu tuduhan berat di mana TH didakwa terlebih bayar dividen kepada semua pencarum untuk beberapa tahun.
“Berat tuduhan ini. Iaitu membayar dividen yang terlalu tinggi,” katanya dalam kenyataan itu.
Najib memberitahu, bagaimana agaknya sebuah akhbar Singapura adalah media yang ‘membongkar’ isu ini pada minggu sama himpunan 812 yang dijangka disertai jutaan rakyat bakal diadakan?
“Siapa yang bercakap dengan akhbar milik kerajaan Singapura itu?
“Bagaimana ini boleh terjadi pada ketika TH telah diaudit dan aset dinilai dengan teliti? Juga, anda perlu tahu bahawa TH dijamin sepenuhnya oleh kerajaan dan pendeposit tidak berada dalam situasi wang mereka akan hilang,” soal Najib.
Najib menambah, apa yang lebih pelik adalah dengan cadangan-cadangan yang diberi oleh orang dalam tidak bernama ini kepada media milik kerajaan Singapura ini untuk mengatasi masalah RM4 bilion ini.
“Cadangan ini tidak lain dan tidak bukan ialah untuk TH mengisytihar dividen yang jauh lebih rendah pada tahun ini untuk mengurangkan "jurang" RM4 bilion ini.
“Semua tahu bahawa pasaran saham dan ekonomi kita berada dalam prestasi buruk sejak PRU14. Sudah tentu dividen akan lebih rendah untuk tahun ini,” katanya lagi.