X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

RM17 bilion untuk jaga keselamatan kawasan pelancongan Sabah

Mohd Shafie (tengah) pada sidang DUN Sabah, di Kota Kinabalu.
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan perbelanjaan sebanyak RM17 bilion untuk menampung kos menjaga keselamatan di kawasan pelancongan khususnya di Pantai Timur Sabah.

Beliau mengemukakan cadangan itu ketika mencelah ucapan penggulungan daripada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkaitan keselamatan pelancong terutama di kawasan pantai timur negeri ini.

Mohd Shafie berkata, berdasarkan pengalamannya sebelum ini, kawasan berkenaan memerlukan bantuan daripada pasukan keselamatan.

"Namun pasukan keselamatan tidak mempunyai keupayaan, ada bot tetapi tidak cukup untuk kos operasi sehingga kita terpaksa menampung perbelanjaan untuk membeli petrol.

"Jadi, kalau boleh saya cadangkan supaya perkara ini, perbelanjaan RM17 bilion Kementerian Keselamatan Dalam Negeri yang telah pun diperuntukkan untuk memastikan supaya keselamatan negara dapat ditampung. Ini nak beli petrol pun tidak cukup," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.

Beliau berkata, tujuannya adalah untuk menjamin keselamatan pelancong antarabangsa kerana ketika ini bukan saja berhadapan dengan masalah Covid-19 tetapi turut dibimbangi diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Ini tidak boleh menjamin masyarakat antarabangsa, bukan hanya berhadapan dengan masalah Covid-19, kemungkinan jaminan keselamatan nyawa mereka tidak terjamin, bahkan juga kemungkinan akan diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dari segi penculikan," katanya.

Sebelum itu, beliau turut bertanya apa langkah yang telah diambil oleh kementerian berkenaan khususnya di kawasan Pantai Timur supaya tidak ditonjolkan di peringkat antarabangsa sebagai kawasan merah.

"Ini sebahagian keadaan yang membimbangkan masyarakat antarabangsa pada masa akan datang bila dibolehkan pelancong asing datang?

"Apakah langkah-langkah pihak kementerian untuk memastikan perkara ini dititikberatkan supaya disusun rapi bagi memastikan kawasan ini dikunjungi pelancong?," katanya.

Sementara itu, dalam jawapan balas Jafry menyatakan bahawa pihak kementerian sedang berusaha supaya amaran kawasan merah itu dapat dialihkan.

"Bagaimanapun, usaha secara fizikal di peringkat lapangan, kita telah berusaha untuk memastikan bukan saja pasukan keselamatan tetapi pasukan bantuan secara sukarela daripada Taman-Taman Sabah (TTS) juga dapat digerakkan dalam memastikan keselamatan di kawasan taman-taman khususnya di pantai timur Sabah.

"Jadi usaha ini akan kita angkat dan akan pastikan ke pihak berkaitan berhubung amaran kawasan merah itu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!