RM20 juta pindah Klinik Ibu dan Anak HRPZ II ke Tunjong

Izani memotong pulut kuning sebagai gimik perasmian majlis berkenaan.
Izani memotong pulut kuning sebagai gimik perasmian majlis berkenaan.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan meluluskan peruntukan RM20 juta untuk proses pemindahan Klinik Ibu dan Anak, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) ke bandar baharu Tunjong, di sini.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, langkah tersebut amat penting bagi mengurangkan kepadatan di kawasan tengah bandar.

"Sekarang ini klinik berkenaan berada di tengah bandar dan kita telah luluskan peruntukan untuk pindah ke Tunjong. Sekarang ini dalam proses pengambilan tanah manakala untuk pembinaan itu memerlukan bajet baharu," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau sebelum itu hadir merasmikan Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan 100 tahun Profesion Perancang Bandar Malaysia Peringkat Negeri Kelantan 2021 di Hotel H Elite Design, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Izani berkata, beliau juga pernah menyuarakan hasrat untuk memindahkan HRPZ II ke satu lokasi yang lebih sesuai akibat masalah parkir di kawasan asal, bagaimanapun kerajaan Persekutuan ketika itu memaklumkan ia melibatkan kos yang cukup besar.

Beliau juga memberitahu, bandar-bandar utama di negeri ini masih belum mencapai tahap bandar pintar dan bandar rendah karbon memandangkan masih ada beberapa faktor yang perlu dilaksanakan mengikut perancangan yang telah dilakukan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai bandar baharu Tunjong, Izani memberitahu, setiap pembangunan yang dijalankan adalah mengikut perancangan yang ditetapkan iaitu melibatkan kerjasama pihak kerajaan dan swasta dalam pelbagai aspek.

Artikel Berkaitan: