Covid-19: Perlis belanja lebih RM38 juta bantu golongan terkesan

Azlan Man
Azlan Man
A
A
A

KANGAR - Kerajaan Negeri Perlis membelanjakan lebih RM38 juta bagi membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di negeri itu sejak tahun lalu sehingga November lepas.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, sebanyak RM12.7 juta dibelanjakan sepanjang tahun lepas manakala setakat November lepas sebanyak RM25.8 juta telah dibelanjakan bagi tahun ini.

“Inisiatif yang telah diambil kerajaan negeri untuk membantu mereka yang terkesan termasuk memperkenalkan Polisi Perlis Bebas Niaga bermula Januari 2021 yang memberi manfaat kepada 480 peniaga atau penjaja baharu,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Asrul Nizan Abd Jalil (PH-Sena) yang ingin tahu inisiatif diambil kerajaan negeri bagi membantu golongan terkesan akibat pandemik selain jumlah penerima dan dana yang disalurkan untuk tujuan itu bagi tahun lepas dan tahun ini.

Menurutnya, seramai 35,000 keluarga di negeri itu menerima bantuan makanan asas menerusi Program Agihan Makanan Asas (PAMA) ‘Perlis Pahadoi’ dalam usaha meringankan beban mereka.

Azlan memberitahu, kerajaan negeri juga memberi bantuan kepada pesakit Covid-19 serta ahli keluarga mereka membabitkan peruntukan RM46,000, selain subsidi tarif air untuk 20 meter padu pertama bagi 66,735 akaun domestik yang melibatkan RM479,000.

Katanya, seramai 27 peniaga pula mendapat manfaat daripada pemberian sumbangan peralatan perniagaan serta pembaikan gerai industri kecil dan sederhana membabitkan peruntukan RM788,000.

“Inisiatif lain ialah bantuan kepada 2,037 pekerja cacat, 870 orang kurang upaya (OKU) yang tidak mampu bekerja dan bantuan kepada 587 ibu tunggal melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis yang keseluruhan berjumlah RM1.15 juta,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Azlan berkata, pengecualian bayaran balik pinjaman pelajaran di bawah kerajaan negeri juga diberikan dalam tempoh enam bulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0. - Bernama