Klinik kesihatan, jalan raya antara keperluan di DUN Bukit Assek

Chieng Jin Ek - Foto Bernama
Chieng Jin Ek - Foto Bernama
A
A
A

SIBU - Isu berkaitan klinik kesihatan dan jalan perhubungan merupakan antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian dalam aspek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Bukit Assek, Chieng Jin Ek itu berkata, selain mengekal serta membesarkan lagi Klinik Kesihatan Jalan Oya sedia ada, beliau juga berhasrat membina klinik kesihatan baharu di kawasan berkenaan sekiranya diberi mandat untuk menjadi ‘suara’ penduduk kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) ini.

Beliau berkata, projek pembinaan klinik kesihatan baharu di kawasan berkenaan akan membolehkan masalah jumlah pesakit terlalu ramai dan keadaan sesak di Klinik Kesihatan Jalan Oya ketika ini, diatasi untuk jangka panjang.

Menurutnya Klinik Kesihatan Jalan Oya yang mula beroperasi sejak pada 1990 kini sesak dengan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan serta perkhidmatan perubatan, mencecah hingga 1,800 orang sehari, sekali gus menuntut langkah segera bagi mengatasi masalah itu.

“Cuba bayangkan klinik kesihatan yang kecil terpaksa mengendali jumlah pesakit terlalu ramai, setiap hari sesak. Di samping itu timbul juga masalah mengenai tempat letak kereta sehingga mereka yang membawa pesakit terpaksa meletakkan kereta di bahu jalan, mendatangkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk berhampiran dan pengguna jalan raya lain,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Chieng berkata selain lebih banyak tempat letak kereta, klinik itu juga dilihat memerlukan kemudahan rawatan lebih baik, selain dilengkapi dengan pelbagai kemudahan khusus bagi pegawai perubatan, dan kemudahan yang mampu menampung bilangan pesakit sehingga 2,000 orang sehari dengan selesa.

Menurutnya jumlah pesakit klinik itu agak tinggi kerana mereka bukan setakat datang dari kawasan Bukit Assek atau sekitar Bandar Sibu sahaja, malah ada antara mereka datang dari daerah jauh di Kanowit serta Julau, disebabkan kedudukan klinik itu yang strategik di tengah pusat bandar.

Selain isu klinik kesihatan, Jin Ek turut menggariskan beberapa lagi perancangan, seperti pembinaan jalan raya baru dari Jalan Wong King Huo ke Jalan Lapangan, pelaksanaan pembinaan perumahan mampu milik dan pelaksanaan rancangan pencegahan banjir Kampung Sentosa, selain melaksanakan Rancangan Pembangunan Semula Bukit Assek,

Artikel Berkaitan:

Jin Ek menjadi taruhan GPS bagi merampas kerusi itu dalam pertandingan enam penjuru melibatkan pertembungan dengan penyandang Irene Mary Chang Oi Ling yang mewakili DAP, Lau Kiu Ming (Parti Aspirasi Rakyat Sarawak), Ting Kee Nguan (Parti Sarawak Bersatu), Priscilla Lau (Parti Bumi Kenyalang) dan calon Bebas Hii Tiong Huat.

DUN Bukit Assek mempunyai 27,636 pemilih berdaftar. Pengundian bagi PRN12 adalah pada 18 Disember manakala pengundian awal pada 14 Disember. - Bernama