Vaksinasi remaja, inisiatif PPC antara pencapaian 100 hari KKM

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencapai kesemua lima petunjuk prestasi utama sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia termasuk kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) dan pelaksanaan inisiatif Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC).

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, setakat Rabu, 90 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 86.6 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, melangkaui sasaran 80 peratus ditetapkan.

“Pada asalnya, ada sedikit keengganan dalam kalangan ibu bapa yang mungkin risau dan takut kesan sampingan pada anak mereka tapi kita lihat program ini berjalan lancar.

"Remaja-remaja kita pun sangat bersemangat untuk menerima vaksin dan tahap pengetahuan mereka sangat tinggi tentang vaksin,” katanya dalam program Buletin Bernama terbitan Bernama TV pada Rabu sempena Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari.

Beliau juga menasihati orang ramai untuk mendapatkan dos penggalak terutamanya dengan kewujudan varian Omicron yang mempunyai kebolehjangkitan yang lebih tinggi daripada varian Delta dan memaklumkan setakat ini, 3.2 juta dos penggalak telah diberikan.

Sementara itu, Khairy berkata, setakat ini sebanyak 100,000 pek PPC mengandungi empat kit ujian kendiri Covid-19, empat pelitup muka guna semula, masing-masing satu termometer dan oksimeter nadi serta risalah maklumat kesihatan telah dihantar kepada keluarga B40.

Katanya, pakej itu akan terus diedarkan kepada keseluruhan 3.6 juta keluarga B40 dalam masa beberapa minggu akan datang.

“Ini adalah suatu idea yang sangat prihatin daripada Perdana Menteri, (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) untuk bantu rakyat terutama keluarga B40 dalam fasa peralihan ke endemik di mana kita tahu, jika ada gejala dan jika positif, asingkan diri dan sentiasa pantau keadaan di rumah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, KKM juga telah berjaya mencapai sasaran pengurangan penggunaan katil Covid-19 untuk unit rawatan rapi (ICU) daripada 95 peratus kepada bawah 70 peratus dan katil bukan ICU daripada 80 peratus kepada bawah 50 peratus, pada 24 September lepas.

Khairy berkata, secara keseluruhan, penggunaan katil untuk rawatan Covid-19 semakin menurun dengan penggunaan katil ICU kini pada paras 26 peratus, manakala bukan ICU pula 19 peratus, namun disebabkan situasi Covid-19 yang dinamik, KKM akan terus melakukan pemantauan rapi.

Beliau berkata, KKM juga telah berjaya mengurangkan kes kematian di luar hospital (BID) dengan meningkatkan sistem pemantauan kepada pesakit yang melakukan kuarantin kendiri serta meningkatkan kadar vaksinasi.

Khairy berkata, kementerian itu juga berjaya mengurangkan lebih 10 peratus daripada 8,725 kes tunggakan pembedahan elektif yang wujud apabila hospital KKM terpaksa digunakan untuk rawatan Covid-19 menerusi inisiatif penyumberluaran perkhidmatan pembedahan ke hospital swasta.

Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM202 juta untuk tujuan itu dan KKM akan meneruskan inisiatif tersebut tahun depan terutamanya untuk menyegerakan pembedahan membabitkan kes-kes yang agak kritikal.

Sementara itu, beliau turut menasihati orang ramai yang akan menyertai Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama empat hari mulai Khamis untuk terus patuh prosedur operasi standard (SOP).

“Negeri-negeri fasa empat boleh adakan pameran dan sebagainya, jadi tidak menjadi masalah. Namun perlu diingatkan kepada rakyat supaya sentiasa amalkan saranan KKM,” katanya. - Bernama