Chong Wei tidak minta bayaran jadi duta pelancongan Sabah

Lee Chong Wei
Lee Chong Wei
A
A
A

KOTA KINABALU - Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang dilantik sebagai duta pelancongan Sabah pada Oktober lalu tidak meminta bayaran daripada Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, Chong Wei bersetuju untuk membantu mempromosikan Sabah secara percuma namun kerajaan perlu menanggung kos perbelanjaan sepanjang pengembaraan untuk tujuan promosi.

"Chong Wei merupakan ikon yang mempunyai ramai pengikut di media sosial dan sebagainya. Beliau juga merupakan seorang influencer yang boleh melakukan promosi melalui Instagram dan Facebook dengan pengikut lebih satu juta.

"Untuk makluman, pihak STB tidak membayar satu sen pun kepada beliau yang bersetuju membantu mempromosikan Sabah secara percuma.

"Bagaimanapun kita perlu menanggung kos melakukan pengembaraan untuk tujuan mempromosikan Semporna. Itu saja permintaan beliau," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) ketika mencelah dalam sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Rabu.

Jafry berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan Mohd Shafie berhubung pelantikan Chong Wei sebagai duta kerana ikon sukan dunia itu dilantik untuk sektor pelancongan selain persoalan berhubung kos sebenar sebenar yang perlu ditanggung oleh kerajaan.

Sebelum itu, beliau turut menjawab soalan daripada Datuk Christina Liew (PKR-Api-Api) yang mempersoalkan keputusan STB yang tidak melantik lebih ramai rakyat Sabah sebagai duta yang dilihat lebih memahami budaya dan makanan negeri ini.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa kerajaan turut mengambil beberapa duta tempatan dari Sabah sebelum ini namun untuk tujuan promosi.

Artikel Berkaitan: