KUFC lakukan rombakan jurulatih, pemain

KUFC akan melakukan rombakan barisan jurulatih dan menggunakan khidmat pemain muda bagi menghadapi saingan Liga-M musim depan. - Foto Kelantan United FC
KUFC akan melakukan rombakan barisan jurulatih dan menggunakan khidmat pemain muda bagi menghadapi saingan Liga-M musim depan. - Foto Kelantan United FC
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan United (KUFC) akan melakukan rombakan barisan jurulatih dan menggunakan khidmat pemain muda bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pengarah Eksekutif KUFC, Anas Karimi Ahmad Thani berkata, keputusan itu dilakukan apabila menyaksikan pencapaian pasukan menamatkan musim 2021 di kedudukan ketujuh Liga Premier dan tersingkir awal di peringkat kumpulan pada aksi Piala Malaysia.

"KUFC telah memuktamadkan pengendali baharu untuk musim depan dan pihak kami menyerahkan kepada jurulatih tersebut untuk membina skuad terbaik yang mampu bersaing dengan kelab yang lain.

"Kami merombak barisan kejurulatihan dengan melantik ketua jurulatih baharu. Beliau diberi tanggungjawab membentuk pasukan mengikut acuannya dan kami pihak pengurusan tidak akan campur tangan," katanya dalam satu kenyataan media, di sini pada Rabu.

KUFC merupakan pasukan kedua dari negeri Cik Siti Wan Kembang bersaing dalam kancah Liga Malaysia selepas Kelantan FC atau dikenali Kelantan The Red Warriors.

Anas Karimi berkata, jurulatih baharu yang dilantik telah dijelaskan dengan misi dan visi utama kelab untuk mengutamakan pemain muda yang mampu menggalas harapan agar dapat beraksi mewakili negara.

"Justeru itu, antara sasaran kami ialah ingin melihat ada pemain KUFC dipilih untuk mewakili Malaysia untuk kejohanan-kejohanan yang lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, mengulas persiapan kelab untuk saingan Liga-M, beliau berkata KUFC ketika ini sedang menyelesaikan perkara utama dan akan membuat pengumuman melalui siaran media berhubung pelantikan jurulatih dan pemain.

Artikel Berkaitan:

"KUFC turut meletakkan sasaran di kedudukan lima terbaik Liga Premier serta layak ke Piala Malaysia. Oleh demikian, kami menyerahkan 100 peratus kepada jurulatih untuk menguatkan pasukan agar sasaran itu tercapai dengan jayanya," katanya. - Bernama