Penduduk lega masalah banjir kilat selesai

Mohd Zolkafly (dua dari kanan) mendengar cadangan daripada penduduk ketika sesi perjumpaan bersama agensi daerah Kuala Kangsar dengan Persatuan Penduduk Taman Muhibbah Jaya berkaitan isu banjir kilat di Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput (U) di sini pada Selasa.
Mohd Zolkafly (dua dari kanan) mendengar cadangan daripada penduduk ketika sesi perjumpaan bersama agensi daerah Kuala Kangsar dengan Persatuan Penduduk Taman Muhibbah Jaya berkaitan isu banjir kilat di Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput (U) di sini pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Penduduk Taman Muhibbah Jaya, di sini yang berdepan masalah banjir kilat sejak beberapa tahun lalu boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri tampil dengan solusi bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi penyelesaian jangka pendek.

Menurutnya, kaedah penyelesaian tersebut akan dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa akan datang.

“Kita telahpun mengenal pasti beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan untuk projek sementara bagi penyelesaian banjir kilat di Taman Muhibbah Jaya.

“Kita juga dapat beberapa cadangan daripada wakil penduduk Taman Muhibbah Jaya dan saya berpendapat ia bersesuaian dengan apa yang telah dirancang oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan juga Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuala Kangsar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama agensi daerah Kuala Kangsar dengan Persatuan Penduduk Taman Muhibbah Jaya berkaitan isu banjir kilat di Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput (U), di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Zulhisham Ahmad Shukori dan Setiausaha Khas Kepada Menteri Besar Perak Bagi Masyarakat India, Datuk V Elanggo.

Mohd Zolkafly berkata, sebelum ini lebih 50 keluarga di taman perumahan itu berdepan masalah banjir kilat yang kerap apabila hujan lebat dan menyebabkan kerosakan harta benda penduduk.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penduduk, M Karunaniti, 54, yang ditemui berkata, dia bersama penduduk yang lain menyambut baik usaha kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah itu.

Katanya, setiap kali hujan, penduduk tidak dapat tidur lena mengenangkan banjir kilat yang akan berlaku kerana air naik agak tinggi sehingga 0.6 meter.

"Jika masalah ini tidak diselesaikan segera, lebih banyak harta benda penduduk yang musnah selain mengancam nyawa terutama warga emas.

"Apabila dimaklumkan tentang tindakan penyelesaian ini, kita lega kerana masalah ini akan selesai tidak lama lagi," katanya.

Dalam pada itu, Elango yang juga Pengerusi MIC Perak berkata, kerjasama semua pihak dalam menyelesaikan masalah ini amat dihargai.

Menurutnya, lontaran beberapa cadangan daripada agensi dan penduduk ketika perjumpaan itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah rakyat.