Ayam eksport tak halal? Ini jawapan Jabatan Perkhidmatan Veterinar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kesemua loji ayam luar negara yang disenaraikan dalam laman web Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) adalah sah untuk menjalankan aktiviti mengeksport ke Malaysia.

Menerusi satu kenyataan, DVS memaklumkan ketika ini terdapat sembilan loji ayam di Thailand serta dua di China yang diluluskan untuk mengeksport daging ayam dan keratan ayam ke negara ini.

"Senarai loji-loji di laman sesawang DVS dikemas kini dari semasa ke semasa dan loji-loji yang didapati tidak mematuhi syarat import yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia akan digantung kelulusan eksport.

"Notifikasi penggantungan akan dipaparkan pada nama loji tersebut di laman sesawang DVS untuk makluman pihak-pihak berkepentingan.

"Badan Pengesahan Halal Luar Negara yang mengawal selia aktiviti penyembelihan halal di loji ayam Thailand iaitu The Central Islamic Council of Thailand dan di China iaitu Shandong Halal Certification Services adalah masih sah tempoh pengiktirafan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sehingga 31 Disember 2023," memetik kenyataan itu di sini, hari ini.

Kenyataan itu menyusul susulan video seorang penceramah bebas yang tular dalam media sosial yang mendakwa loji-loji ayam Thailand dan China yang mengeksport produk ayam ke Malaysia telah tamat tempoh dan tidak halal.

Justeru, DVS mengingatkan orang awam supaya merujuk kepada Pihak Berkuasa Veterinar, DVS untuk mendapatkan keterangan dan pengesahan perkara-perkara yang berkaitan sahih sebelum membuat sebarang hebahan dalam media sosial bagi mengelakkan spekulasi. -Awani

Artikel Berkaitan: