Talian SELamat hotline bantu mangsa keganasan rumah tangga

Mohd Zawawi - Foto Bernama
Mohd Zawawi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pengkalan data Talian SELamat iaitu Hotline Khusus Aduan Keganasan Rumah Tangga menerima sejumlah tujuh panggilan aduan berkaitan kes rumah tangga termasuk aduan umum setakat 11 November lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, daripada jumlah tersebut Talian SELamat yang mula beroperasi secara rasmi pada 1 November itu menerima tiga aduan berkaitan kes keganasan rumah tangga manakala empat panggilan lagi adalah aduan umum.

"Tiga kes (panggilan) yang diterima adalah lebih kepada memerlukan bantuan kaunseling dan sokongan dalam hal-hal keganasan rumah tangga," katanya ketika sesi Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini pada Rabu.

Beliau yang mewakili Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata demikian menjawab pertanyaan Rozana Zainal Abidin (PKR-Permatang) mengenai jenis aduan yang diterima dalam hotline keganasan rumah tangga menerusi Talian SELamat.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, Wanita Berdaya Selangor (WBD) akan meningkatkan usaha promosi dan publisiti lebih berimpak bersama pihak media dan pemegang taruh yang berkaitan bagi tujuan hebahan serta menyebarluaskan info berkenaan hotline ini untuk manfaat kepada rakyat Selangor.

Beliau berkata, talian SELamat diwujudkan khusus bagi menerima aduan berkaitan keganasan rumah tangga.

Talian tersebut beroperasi 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu bertujuan untuk memastikan tiada pemandiri yang terpinggir untuk mendapatkan bantuan dan semua identiti pemanggil adalah diklasifikasikan sebagai sulit.

Menurutnya, Talian SELamat bertindak sebagai 'hotline pertolongan cemas' yang menyediakan perkhidmatan seperti khidmat mendengar masalah, sesi kaunseling atas talian dan sesi kaunseling secara bersemuka bersama kaunselor rujukan kes.

Artikel Berkaitan: