KPLB capai empat KPI Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya mencapai kesemua empat petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dalam Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia merangkumi aspek mempertingkat infrastruktur dan menstruktur semula ekonomi luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara empat pencapaian tersebut ialah pembinaan 100.56 kilometer jalan perhubungan desa sebagai akses perhubungan yang lebih cepat dan selamat yang memanfaatkan 20,095 penduduk kampung.

“KPI kedua yang berjaya dicapai ialah pembinaan 114 projek baharu, menaik taraf atau membaik pulih kemudahan awam asas di bawah program ameniti sosial.

"Antara projek yang dilaksanakan ialah membina jambatan kecil baharu, membaik pulih dewan, balai raya dan surau di kampung serta menaik taraf longkang tanah di kampung kepada longkang konkrit.

"Kesemua projek ini memberi manfaat kepada 22,800 penduduk di kawasan luar bandar di seluruh negara,” katanya ketika ditemubual dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan RTM pada Rabu.

Menurut Mahdzir, KPI ketiga yang berjaya dicapai KPLB ialah membina 800 unit rumah baharu serta membaik pulih 10,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Kedua-dua projek melibatkan peruntukan lebih RM186.6 juta yang memberi manfaat kepada 54,000 isi rumah luar bandar," katanya.

Mahdzir berkata, KPI keempat yang berjaya dicapai ialah pelaksanaan pelbagai program keusahawanan desa melibatkan skim pembiayaan perniagaan khas wanita (Dananita), pembangunan keusahawanan belia Mara, program transformasi pembangunan usahawan dan bantuan insentif kepada usahawan yang terjejas kesan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebanyak 5,487 usahawan menerima manfaat daripada pelbagai program itu yang turut melibatkan bantuan modal, peralatan pemasaran dan latihan.

Sementara itu, Mahdzir berkata, antara tarikan di ruang KPLB pada pameran Aspirasi 100 hari Keluarga Malaysia pada Khamis ialah kumpulan orang asli yang dibawa oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan pameran keusahawanan digital. - Bernama