Speaker tegur ADUN Tanjong Kapor berhubung PRK Bugaya

Kadzim - Foto Bernama
Kadzim - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya menegur Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Chong Chen Bin supaya tidak membuat andaian berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Beliau berkata demikian ketika Chen Bin menyampaikan ucapan bagi membahaskan Belanjawan 2022 Sabah di DUN Sabah pada Selasa.

Chen Bin dalam ucapan bahasnya merayu Speaker dan timbalannya supaya dapat memperkasakan kuasa yang ada pada DUN Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) agar martabat anak Sabah tidak diperlekehkan oleh pemimpin di Semenanjung.

Beliau kemudian memberi contoh PRK Bugaya yang masih belum boleh diadakan sedangkan tempoh darurat sepatutnya sudah berakhir pada 1 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Kadzim mencelah ucapan itu dengan memintanya tidak membuat andaian tanpa fakta atau bukti.

"Jangan buat andaian, kalau itu satu fakta 'you' cakap, kalau bukan fakta jangan buat andaian.

"Dari mana dapat bukti, bila dapat bukti? Ada sudah bukti bahawa PRK tidak diadakan?" soal beliau kepada ADUN daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) itu.

Namun Chen Bin menyatakan ia adalah fakta dan dalam masa sama turut mempersoalkan kenapa Melaka boleh diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selain menyatakan itu adalah kebebasannya untuk berucap.

Artikel Berkaitan:

Chen Bin bagaimanapun tidak meneruskan berkaitan PRK DUN Bugaya sebelum mengakhiri ucapannya dengan segera.