PRK Rantau: PH panggil mesyuarat atur jentera

Aminuddin pada sidang media
Aminuddin pada sidang media
A
A
A

SEREMBAN - PH Negeri Sembilan akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat untuk menyusun gerak kerja jentera bagi memastikan kemenangan Dr S Streram pada PRK DUN Rantau.

Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, seperti kebiasaan mereka akan turun sebagai satu pasukan dan disebabkan Rantau adalah kerusi PKR, parti itu akan mengetuainya.

Menurutnya, segala masalah berhubung ketidakpuasan hati sesetengah daripada mereka berhubung pemilihan Dr Streram sebagai calon sebelum ini telah pun selesai selepas beberapa perbincangan dan perjumpaan diadakan.

“Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjumpa dan berunding dengan semua jawatankuasa Cabang Rembau sehari sebelum pengumuman Dr Streram sebagai calon.

“Semalam (kelmarin) telah terbukti apabila nama Dr Streram diumumkan, sokongan itu masih bulat dan ini menunjukkan kesepakatan antara kita sebagai satu pasukan,” katanya ketika ditemui pada majlis Pra-Pelancaran Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2019M di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK DUN Rantau: Dr S Streram wakil calon PH

Streram dipilih sebab dinafi hak bertanding PRU14

Sokong calon pilihan pimpinan sebab sayangkan parti

Artikel Berkaitan:

Ditanya berkenaan tuduhan fitnah dihadapi oleh Timbalan Ketua Cabang Rembau itu, Aminuddin yang juga Pengerusi PKR berkata, budaya fitnah memfitnah itu sudah biasa dalam politik.

Katanya, pihaknya akan pastikan gerakan jentera pilihan raya PH tidak akan terjejas dengan isu berkenaan.

“Kita yakin yang Dr Streram adalah calon terbaik dan boleh memberi cabaran kepada calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Kita akan bantu Dr Streram dengan pastikan beliau turun berjumpa dengan seramai mana pengundi,” katanya.