100 hari pentadbiran: Ekonomi di landasan pemulihan kukuh

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR- Beberapapelan dan strategi, termasuk sektor berkaitan ekonomi untuk memulihkan ekonomi demi kesejahteraan rakyat, yang digariskan oleh kementerian berkaitan telah membuahkan hasil apabila sasaran jangka pendek awal yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk pasukan kabinetnya menghampiri tempoh 100 hari.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan pada 20 Ogos menggantikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos selepas kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.

Pada 27 Ogos, Ismail Sabri mengumumkan senarai barisan 'Kabinet Berorientasikan Hasil' melibatkan 31 menteri, termasuk 13 menteri berpengalaman di bawah kerajaan terdahulu yang termasuk Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Antara pencapaian utama yang dicapai oleh Perdana Menteri dalam tempoh 100 hari ialah Memorandum Persefahaman (MoU) bersejarah yang dimeterai antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan, yang membantu memacu keyakinan ekonomi dan meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia, menurut penganalisis.

Dalam laporan berita pada 13 September, Ketua Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed berkata, pelabur mula memasuki pasaran Malaysia semula berikutan peningkatan kestabilan politik dan komitmen kerajaan untuk meletakkan ekonomi di landasan pertumbuhan.

“Kerajaan Persekutuan amat komited terhadap kestabilan makroekonomi untuk pertumbuhan yang membawa kepada kemajuan ekonomi di negara ini. Langkah ini memberi manfaat kepada orang ramai dan orang biasa di peringkat makro,” katanya.

Dalam kenyataan pada 30 September 2021, Ismail Sabri berkata, ahli Jemaah Menteri diarah mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari masing-masing kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, ini membolehkan rakyat menilai prestasi menteri dan kementerian mereka dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan meletakkan pencapaian aspirasi itu sebagai keutamaan tertinggi bagi setiap menteri dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 September lepas menetapkan tempoh 100 hari pertama setiap menteri di bawah pentadbirannya bermula dari 1 September iaitu pada hari pertama Mesyuarat Jemaah Menteri diadakan.

Dalam tempoh 100 hari pertamanya, Ismail Sabri mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025, dan RM400 bilion diperuntukkan di bawah pelan hala tuju negara untuk lima tahun, meningkat sebanyak 61 peratus berbanding perbelanjaan sebenar sebanyak RM248.5 bilion untuk RMK11.

Ismail Sabri, semasa mengumumkan pelan itu, berkata RMK12 mempunyai tiga tema, empat pemangkin dasar dan 14 pemacu perubahan dalam menyediakan asas yang kukuh untuk masa depan Malaysia.

RMK12 menyasarkan untuk meningkatkan lagi ekonomi, termasuk meningkatkan sosio-ekonomi kumpulan berpendapatan rendah, terutamanya masyarakat Bumiputera. Antara cadangannya ialah membenarkan penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya kepada konsortium, syarikat atau individu bumiputera.

Mustapa dipetik sebagai berkata, bahawa pemilikan saham Bumiputera terdiri daripada saham yang dimiliki oleh individu Bumiputera serta institusi mandat Bumiputera, dan bersama-sama, ia membentuk kira-kira 17.2 peratus daripada pegangan saham pada 2019.

“Apa yang kami maksudkan, dalam cadangan kami, ialah institusi mandat Bumiputera, yang termasuk Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tabung Haji dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas), hanya boleh menjual saham mereka kepada institusi, konsortium atau individu Bumiputera lain,” kata menteri itu.

Dalam Malaysia terus memerangi Covid-19, pada 11 Oktober lepas, Dewan Rakyat turut meluluskan rang undang-undang untuk meningkatkan had hutang statutori kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 60 peratus sebelum ini.

Tengku Zafrul, yang membentangkan dua rang undang-undang, iaitu Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Negara (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2021 pada Oktober berkata, rang undang-undang pertama bertujuan membiayai empat pakej bantuan dan rangsangan -- Permai, Pemerkasa, Pemerkasa Tambahan dan Pemulih yang memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM27 bilion.

Beliau berkata, rang undang-undang kedua untuk meningkatkan had siling Dana Covid-19 (KWC-19) daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion.

Dalam Malaysia berusaha untuk memulihkan pertumbuhan ekonominya, kemunculan varian baharu B.1.1.529 yang tanpa dijangka, atau lebih dikenali sebagai varian Omicron, berpotensi menggugat proses pemulihan.

Pada 30 November, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan bahawa Malaysia perlu menangguhkan peralihannya kepada fasa endemik Covid-19 berikutan ketidaktentuan yang disebabkan oleh varian Omicron.

Bagaimanapun, menurut Menteri Kewangan, Malaysia dijangka mencapai sasaran pertumbuhan KDNK sebanyak tiga hingga empat peratus pada tahun ini walaupun wujudnya varian Omicron.

“Kami memantau situasi dengan teliti, (tetapi) kami masih yakin bahawa kami akan dapat mencapai sasaran KDNK pada tahun ini antara tiga dan empat peratus,” katanya dalam temubual dalam program Squawk Box Asia CNBC yang disiarkan pada 6 Disember lepas.

Tengku Zafrul menjawab soalan mengenai sama ada varian Omicron akan memberikan risiko penurunan yang lebih besar kepada ekonomi Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan komited untuk melindungi rakyat dan memastikan kesinambungan perniagaan berdasarkan kepentingan mereka kepada ekonomi dan ia akan sentiasa memberikan sokongan yang kukuh kepada ekosistem. - Bernama