Indonesia akan hantar 10,000 rakyat bekerja di Malaysia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Indonesia dijangka menghantar seramai 5,000 hingga 10,000 rakyatnya untuk bekerja di negara ini bulan depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, jumlah itu termasuk pekerja yang bakal bekerja di sektor pembinaan, pembuatan dan pekhidmat domestik Indonesia (PDI).

“Saya telah mencadangkan 5,000 hingga 10,000 pada peringkat awal termasuk pembantu rumah, apabila kami telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia, semua sektor lain turut dibenarkan (ke negara ini),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kuarters Pekerja Berpusat Bersepadu (ICLQ) di Pasir Gudang, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, satu Jawatankuasa Khas di bawah Jabatan Tenaga Kerja akan diwujudkan dalam masa terdekat bertujuan membela nasib warga kerja PDI.

“Ini adalah inisiatif kerajaan setelah berbincang dan kami telah bersetuju bahawa kami akan membela nasib warga kerja Indonesia, maka ini menjadi tanggungjawab kami untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi menunaikan janji kami,” katanya.

Saravanan berkata, Indonesia turut memohon agar Malaysia menetapkan gaji minimum bagi rakyatnya yang bekerja di negara ini sebanyak RM1,500 sebulan.

“Tetapi saya memaklumkan kita tidak boleh menetapkan gaji RM1,500 itu kerana negara kita masih lagi menguatkuasakan gaji minimum RM1,200 sebulan.

“Namun, saya telah bersetuju gaji bermula dari RM1,200... maksudnya sekiranya majikan sanggup bayar RM1,500 sebulan, kerajaan tiada halangan,” katanya sambil menambah pihaknya akan berbincang dengan Bangladesh mengenai pengambilan pekerja asing dari negara itu selepas selesai MoU bersama Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, dilaporkan menerusi pertemuan Saravanan dengan rakan sejawatnya Ida Fauziyah di Indonesia, Malaysia dan Indonesia bersetuju melaksanakan konsep ‘one maid one task’ iaitu seorang PDI boleh berkhidmat bagi isi rumah tidak melebihi enam orang.

Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Malaysia-Indonesia mengenai MoU Pengambilan dan Penempatan PDI akan diadakan pada 14 Disember ini bagi memperincikan perkara tersebut, serta membolehkan kedua pihak mencapai kesepakatan agar MoU PDI dapat dimeterai seawal Januari 2022.

Saravanan sebelum itu dalam ucapannya berkata, ICLQ berkeluasan 4.046 hektar merupakan penginapan pekerja asing yang boleh memuatkan seramai 16,000 orang merupakan yang pertama di negara ini dan ia direka mengikut Piawaian Keselamatan Penginapan Pekerja Global.

Beliau turut mengingatkan kepada semua majikan di negara ini untuk mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] dengan menyediakan penginapan pekerja yang selesa.

Saravanan turut menyelar segelintir majikan yang tidak bertanggungjawab yang tidak menjaga kebajikan pekerjanya termasuk menyediakan tempat tinggal yang selesa.

“Baru-baru ini, saya melawat satu kilang yang mengeluarkan sarung tangan, pulangannya berjuta-juta atau bilion tetapi tempat tinggal pekerja asing, tempat tidur hanya sebesar keranda dua tingkat, cuba bayangkan.

“Saya perlu mengaku bahawa imej negara kita tercalar di peringkat antarabangsa disebabkan majikan yang tidak bertanggungjawab seperti ini. Ini bukan salah kerajaan tetapi kerana majikan yang tidak bertanggungjawab dan Kementerian Sumber Manusia akan ambil tindakan tegas,” katanya. - Bernama