53,299 banduan seluruh negara lengkap vaksinasi

Program vaksinasi Covid-19 membabitkan banduan akan terus diperhebat dari semasa ke semasa. - Foto Bernama
Program vaksinasi Covid-19 membabitkan banduan akan terus diperhebat dari semasa ke semasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 53,299 atau bersamaan 79.71 peratus banduan di seluruh negara telah lengkap dos vaksinasi Covid-19 masing-masing setakat 7 Disember lalu, manakala 6,262 banduan pula menerima satu dos suntikan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Penjara Malaysia mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan program pemberian vaksin kepada banduan.

“Ini terbukti apabila program vaksinasi telah pun dilaksanakan secara berperingkat sejak beberapa bulan lalu hingga berjaya mencapai jumlah yang tinggi dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

“Inisiatif ini juga telah digerakkan di peringkat negeri dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu pemberian suntikan vaksinasi dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Daerah berhampiran.

“Program vaksinasi membabitkan banduan ini akan terus diperhebat dari semasa ke semasa,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang meminta kementeriannya menyatakan kadar vaksinasi tahanan di semua tempat tahanan pada ketika ini dan langkah-langkah proaktif kerajaan dalam memastikan tahanan di semua tempat tahanan akan mendapat vaksinasi.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Jonathan turut memberitahu, seramai 5,748 tahanan di depot tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) seluruh negara telah lengkap vaksinasi.

Tambahnya, seramai 18,385 tahanan pula menerima satu dos suntikan vaksin setakat 10 November lalu.

Artikel Berkaitan: