Kenal pasti pelajar tercicir, berhenti sekolah

Gambar hiasan - Foto 123rf (Gambar kecil: Rais)
Gambar hiasan - Foto 123rf (Gambar kecil: Rais)
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri akan memberikan tumpuan utama dalam sektor pendidikan sekali gus memastikan tidak ada pelajar yang tercicir mahupun berhenti sekolah.

Exco Pendidikan dan Teknologi, Datuk Rais Yasin berkata, dalam mesyuarat Exco yang pertama dihadirinya pada Rabu akan memfokuskan kepada aspek itu dan usaha memperkasa pelajar agar situasi itu tidak wujud di Melaka.

Menurutnya, adalah penting bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan sewajarnya dan mereka yang keciciran disebabkan faktor masalah keluarga serta kemiskinan bukan alasan untuk pihaknya menutup mata dan perlu dikenal pasti untuk dibantu.

Beliau berkata, masyarakat juga harus menyalurkan maklumat sekiranya terdapat pelajar berdepan situasi itu terutamanya disebabkan masalah kewangan kerana terdapat bantuan persekolahan yang boleh disalurkan termasuk melalui Pusat Zakat Melaka, bantuan kanak-kanak (BKK) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga bantuan kelengkapan persekolahan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Katanya, ia berdasarkan dua kes yang dilaporkan kepada beliau baru-baru ini di Bukit Rambai membabitkan dua beradik di sekolah menengah dan rendah yang keciciran kerana kesempitan hidup lebih-lebih lagi setelah pemergian ibunya.

"Walaupun ketika itu saya dalam tempoh kuarantin, namun telah meminta pihak berkenaan mengambil tindakan dan memindahkan mereka ke tempat yang lebih selesa kerana ketika itu mereka tinggal berkongsi dengan warga asing.

"Lebih penting, kita mahu mereka meneruskan persekolahan dan membantu dari soal itu. Kita juga mendapat kerjasama daripada pihak sekolah dan saya berharap untuk tahun depan akan terus fokus pastikan tidak ada pelajar yang ketinggalan dan tercicir untuk hadir ke sekolah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima data murid yang berhenti sekolah sama ada atas faktor itu ataupun diberhentikan disebabkan masalah disiplin.

Artikel Berkaitan:

"Hanya pendidikan yang boleh mengubah nasib mereka dan saya juga berpegang, anak-anak yang dilahirkan tidak kira apa pun statusnya harus mendapatkan pendidikan," ujarnya.