X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Tiga bangunan di Perlis diwartakan sebagai tapak warisan

Masjid Alwi diwartakan sebagai tapak warisan pada 2 Februari 2018. - Foto FB Masjid Alwi
A
A

KANGAR - Tiga bangunan di Perlis iaitu Istana Arau, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) lama dan Masjid Alwi diwartakan sebagai tapak warisan setakat ini, yang perlu dipelihara dan dipulihara.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Asmaiza Ahmad berkata, Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama kerajaan negeri mewartakan Istana Arau dan Bangunan SUK lama pada 24 Februari 2011 manakala Masjid Alwi diwartakan pada 2 Februari 2018.

“Ketiga-tiga bangunan ini sentiasa dijaga baik dan diselenggara secara berkala,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Mohd Ridzuan Hashim (Pas-Guar Sanji) yang ingin tahu usaha dan tindakan kerajaan negeri memelihara dan memulihara tapak sejarah serta prasejarah dalam negeri ini.

Asmaiza berkata, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan tapak sejarah dan prasejarah terus kekal terpelihara sekali gus memberi impak kepada industri pelancongan negara mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dalam melaporkan sebarang jumpaan yang mempunyai nilai warisan kepada pihak Jabatan Warisan Negara.

“Oleh itu, semua pihak harus memberi kerjasama erat bagi memelihara khazanah ini agar tiada pihak mengambil kesempatan dan menceroboh kawasan yang mempunyai nilai sejarah ini.

“Tempat sejarah dan prasejarah merupakan satu aset sangat berharga yang melambangkan identiti sesebuah negeri, latar belakang sejarah inilah yang akan membentuk wajah serta jati diri bangsa Malaysia," katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!