X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

Selangor cadang jual baki vaksin SelVax

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor bercadang untuk menjual baki dos bekalan vaksin program Vaksin Selangor (SelVax) Industri yang belum terjual sekiranya terdapat permintaan daripada negeri atau negara yang menghadapi kekurangan bekalan vaksin Covid-19.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun demikian, kerajaan negeri akan melengkapkan permohonan rakyat yang ingin mendapatkan dos penggalak terlebih dahulu.

“Kita dapat jaminan daripada pihak pembekal bahawa vaksin ini bertahan dalam tempoh tiga tahun daripada pembelian yang kita (kerajaan negeri) buat. Justeru kita percaya, dalam proses tersebut kita boleh habiskan bekalan SelVax itu.

“Dari masa ke masa, kerajaan negeri memikirkan untuk jual ataupun simpanan ini (baki vaksin SelVax) disediakan kepada rakyat jika memerlukan, melihat perkembangan terkini dengan turun naik penularan kes baharu Covid-19,” katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu.

Amirudin menjawab soalan tambahan R Rajiv (PH-Bukit Gasing) yang ingin tahu rancangan kerajaan negeri untuk menghabiskan baki dos vaksin program SelVax Industri yang belum dijual.

Mengenai bilangan vaksin yang dibeli oleh kerajaan negeri yang masih belum dijual berkata sehingga 1 November lepas, baki dos vaksin yang diperuntukkan kepada SelVax Industri yang masih belum dijual adalah sebanyak 537,045 dos.

Amirudin juga memaklumkan pinjaman bekalan vaksin Selangor kepada Pulau Pinang tidak berlaku sekali gus tidak wujud isu pulangan balik vaksin.

“Kita telah bersetuju untuk pinjaman tersebut tapi pada masa sama, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah menawarkan (bekalan) pada kerajaan Pulau Pinang, jadi pinjaman itu tidak dilaksanakan...tidak berlaku,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Daroyah Alwi (Bersatu-Sementa) yang ingin mengetahui status pinjaman vaksin kepada Pulau Pinang, sama ada telah dipulangkan semula atau tidak. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!