Hasrat pengurus kilang miliki Audi A4 musnah ditipu 'scammer'

Mangsa berusia 50 tahun tertarik membeli kereta berkenaan selepas melihat iklan di Facebook yang menawarkan harga RM20,000. (Gambar hiasan). Gambar kecil: Aibee Abd Ghani
Mangsa berusia 50 tahun tertarik membeli kereta berkenaan selepas melihat iklan di Facebook yang menawarkan harga RM20,000. (Gambar hiasan). Gambar kecil: Aibee Abd Ghani
A
A
A

SEREMBAN - Hasrat seorang pengurus kilang memiliki kereta Audi A4 bukan sahaja tidak kesampaian tetapi mengakibatkan kerugian RM91,250 selepas ditipu sindiket scammer.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa berusia 50 tahun itu tertarik membeli kereta berkenaan selepas melihat iklan jualan kereta di Facebook yang menggunakan nama 'Sg Car' pada 10 Ogos lalu.

"Harga ditawarkan ialah RM20,000 dan mangsa telah berhubung dengan 'penjual kereta' melalui aplikasi Facebook Messenger.

"Mangsa kemudian telah memberi nombor telefonnya untuk dihubungi dan berbincang," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pengurus kilang berkenaan kemudian menerima mesej di aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Mr Lee dengan menggunakan nombor telefon 011-21201165.

"Mangsa menyatakan persetujuan untuk membeli kenderaan terbabit dan membuat bayaran di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) antara 17 Ogos hingga 27 November lalu," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 24 transaksi dilakukan mangsa ke atas pelbagai nombor akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan RM91,250 kerana dikatakan untuk pembayaran cukai kastam dan pelbagai caj lain.

Tambah Aibee, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Campbell di sini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, sebanyak 23 kertas siasatan lain terhadap sindiket sama telah dibuka melibatkan negeri lain sejak Ogos lalu.

"Nilai keseluruhan jumlah kerugian lebih RM1.5 juta," katanya.