Rudiger beri bayangan keluar dari London

Antonio Rudiger
Antonio Rudiger
A
A
A

ANTONIO Rudiger memberi bayangan bersedia meninggalkan Chelsea apabila mengesahkan perpindahan percuma ke Real Madrid pada musim depan selepas dilaporkan mencapai persetujuan tidak rasmi dengan kelab Sepanyol itu.

Pemain berusia 28 tahun itu hanya berbaki kontrak kurang tujuh bulan bersama The Blues, namun perbincangan mengenai pelanjutan khidmat di Stamford Bridge berdepan pelbagai halangan.

Bek tengah Jerman itu difahamkan menerima tawaran lebih lumayan untuk menyertai Madrid dan Bayern Munich apabila kontraknya tamat, sekali gus bakal menyaksikan kelab London itu kehilangannya secara percuma pada musim depan.

Menurut laporan media Britain, Madrid mengetuai perlumbaan untuk mendapatkan tandatangan Rudiger selepas mencapai 'perjanjian tidak rasmi' dengan abangnya dan ejen Sahr Senesie.

Senesie bertemu dengan ketua Los Blancos beberapa minggu lalu untuk membincangkan potensi pemindahan percuma untuk adiknya, yang mana kedua-dua pihak boleh mula berunding secara rasmi pada awal tahun berdasarkan Peraturan Bosman.

Biarpun begitu tanpa sebarang dokumentasi dalam kalangan dua pihak tersebut, Chelsea masih mempunyai masa terbaik dalam tempoh sebulan untuk meletakkan tawaran baharu yang lebih baik untuk Rudiger.

Gergasi La Liga itu terdesak untuk menandatangani bek tengah selepas gagal menggantikan Sergio Ramos berpindah secara percuma ke Paris Saint-Germain (PSG).

Sementara itu, Senesie juga dilaporkan telah bertemu dengan pengurusan Bayern Munich minggu lalu, dengan juara Jerman itu berminat untuk menyaingi Madrid untuk mendapatkan khidmat Rudiger.

Artikel Berkaitan:

Manchester United dan Tottenham dalam pada itu turut mengintai Rudiger, namun pemain tersebut ingin berpindah ke luar negara jika memilih meninggalkan Chelsea.

Kehilangan pemain pertahanan itu akan memberi tamparan hebat kepada ketua jurulatih Blues, Thomas Tuchel, yang telah menghidupkan semula kariernya sejak memulakan tugas di Stamford Bridge pada Januari.

Rudiger yang sebelum ini kurang mendapat peluang di bawah bekas pengendali Frank Lampard, mendapat nafas baharu di bawah Tuchel, apabila menjadi aset penting di benteng pertahanan termasuk memainkan peranan penting dalam kejayaan Liga Juara-Juara musim lalu.

Tuchel berkata: "Situasinya mudah, kami mahu dia kekal, ini sangat jelas dan dia tahu.

"Tetapi kadangkala dalam situasi ini, terdapat kelewatan tertentu dan, jelas sekali, terdapat kelewatan dalam perbincangan dan keputusannya."