Pelajar boleh kritis kepada kerajaan tapi bukan beremosi: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Perasmian Keluarga Malaysia@IPT di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Perasmian Keluarga Malaysia@IPT di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

TANJUNG MALIM - Pelajar boleh bersifat kritis dan kritikal dalam menyuarakan pandangan terhadap kerajaan, tetapi haruslah bersandarkan kepada fakta dan bukti, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pemikiran sebagai seorang pelajar sangat ideal dari segi perjuangan dan atas faktor itu bukanlah satu kesalahan sekiranya mereka meluahkan pandangan terhadap apa yang dilakukan kerajaan.

Menurutnya, pandangan itu bagaimanapun haruslah berlandaskan kepada fakta dan bukti, bukannya dilakukan secara emosi atau tindakan melulu.

"Apabila pemimpin pelajar bertemu dengan saya, salah satu soalan yang ditanya, bolehkah kami bersifat kritis dan kritikal terhadap kerajaan, saya jawab boleh dan tidak salah.

"Cuma yang pentingnya adalah perlu bertanggungjawab terhadap setiap tindakan itu dan setiap apa yang dikeluarkan oleh pelajar mesti mempunyai fakta dan bukti.

"Kita boleh jadi kritis dan kritikal terhadap sesiapa sahaja atau keluarkan pemikiran yang terlintas dalam kepada kita, tetapi ia mestilah mempunyai fakta, tidak secara emosi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Keluarga Malaysia@IPT di Dewan Tuanku Cancelor Kampus Sultan Azlan Shah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, kerajaan yang ada pada hari ini mengiktiraf peranan anak muda dan ini dibuktikan apabila meluluskan Undi 18 yang memberi peluang kepada golongan itu menentukan dan memilih siapa yang bakal menjadi pemimpin negara.

Katanya, ramai yang tidak yakin dan berpandangan skeptikal terhadap keyakinan keputusan kerajaan membenarkan undi automatik ini kerana tidak yakin terhadap kemampuan golongan muda yang dianggap masih terlalu mentah untuk menentukan pemimpin negara.

"Tetapi kerajaan yakin dengan kemampuan anak muda dan mahu mereka menentukan siapa yang berhak jadi pemimpin.

"Sehubungan itu bermula 1 Januari depan, semua anak muda yang berusia 18 tahun ke atas, secara automatik akan jadi pengundi Insya-ALLAH. Apabila pilihan raya umum diadakan kerajaan akan pastikan mereka boleh mengundi," katanya.

Program Keluarga Malaysia@IPT tercetus hasil daripada manifestasi aspirasi Perdana Menteri untuk melihat nilai Keluarga Malaysia diterap dan dibudayakan khusus di kalangan institut pengajian tinggi (IPT).

Sempena program itu, UPSI turut menganjurkan ekspo Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) KPT yang menampilkan empat AKM 100 Hari KPT, iaitu pameran GETHIRED@KPT oleh 16 syarikat yang memberi peluang kepada orang ramai menghadiri temuduga terbuka.

Program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia yang membolehkan para pelajar membuat penebusan baucar makanan; VACC2CAMPUS yang akan menyaksikan pemberian vaksin penggalak kepada staf dan pelajar UPSI; dan juga Program RTK@CAMPUS.