Rakyat terbela di bawah Keluarga Malaysia

No Image Caption
A
A
A

Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari merupakan program serta inisiatif yang ditetapkan oleh 31 menteri dengan melibatkan 26 kementerian dan 5 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri menerusi pembuktian pencapaian prestasi dalam tempoh 100 hari pertama selepas dilantik dalam jemaah Menteri.

Tempoh 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia ditetapkan selepas pengumuman Kabinet baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu bermula pada 1 September 2021 dan berakhir pada 9 Disember 2021.

Konsep Keluarga Malaysia menggariskan tiga teras utama dan 20 pengkayaan nilai yang mendasari kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri untuk bekerja secara bersama-sama dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik Covid-19.

Ia jelas dengan usaha kerajaan yang merangkumi pelbagai bantuan prihatin rakyat meliputi aspek kebajikan, kesihatan, kemudahan infrastruktur bagi mensejahterakan hidup dan memastikan pemulihan ekonomi negara berjaya.

Krisis ekonomi dan krisis kesihatan telah menyediakan peluang untuk merencana semula pelan pembangunan negara untuk semua kaum, bagi membolehkan kekayaan negara dinikmati seluruh Keluarga Malaysia dengan adil dan saksama.

Pegangan kerajaan untuk menerapkan falsafah Keluarga Malaysia dalam penggubalan setiap polisi yang dirancang adalah bagi memastikan matlamat akhir untuk menang bersama tercapai dan tiada yang ditinggalkan dalam perjalanan pembangunan negara sama ada dari segi pemulihan ekonomi atau pun kesihatan.

Konsep dan falsafah Keluarga Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri pada 22 Ogos lalu melalui ucapannya yang mana konsep itu diambil kerana ia lebih bersifat inklusif dan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

Semasa pelancaran itu, Perdana Menteri berkata konsep itu menjadi semangat yang mahu disemarakkan kerajaan di bawah pimpinannya.

Artikel Berkaitan:

“Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, manakala batang dan ranting menjulang kukuh nilai-nilai Keluarga Malaysia yang kemudiannya membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur, dan seterusnya memanfaatkan rakyat,” katanya.

Bersandarkan konsep Keluarga Malaysia ini, negara akan dipacu untuk keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi, seterusnya menjamin kesejahteraan setiap penduduk di negara bertuah ini.

Konsep Keluarga Malaysia diterjemahkan dalam penggubalan dasar kerajaan yang menggariskan perancangan strategik secara komprehensif bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam mengecapi nikmat pembangunan negara.

Konsep ini merupakan aspirasi jangka panjang bagi melahirkan Keluarga Malaysia yang kalis cabaran masa hadapan dalam mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi berlandaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPi) dan keberhasilan kebahagiaan (KHO) kerajaan.

Keluarga Malaysia mengandungi tiga teras utama iaitu Keterangkuman (inclusivity), Kebersamaan (common ground) dan Kesyukuran (contentment).

Bagi pengkayaan nilai-nilai di bawah tiga teras berkenaan termasuk menyemai budaya integriti dalam keluarga, menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga, menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga dan menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga.

Nilai lain ialah menerapkan budaya ilmu dalam masyarakat dan keluarga, menyuburkan budaya komunikasi berhemah dalam kalangan keluarga dan masyarakat serta membina akhlak mulia seluruh anggota keluarga.

Turut digariskan ialah nilai kebertanggungjawaban terhadap keluarga, membudayakan amalan ihsan dalam memupuk semangat kebersamaan keluarga, memastikan suasana harmoni dapat dikecapi keluarga serta menyemai budaya khidmat dalam keluarga bagi membantu ahli yang memerlukan bantuan.

No Image Caption

Nilai-nilai seterusnya ialah menjaga kehormatan dan maruah keluarga, menyemaikan semangat prihatin untuk membantu ahli keluarga, menerapkan budaya kesabaran dalam mengekalkan keharmonian keluarga dan menyemai semangat keamanan serta kesejahteraan dalam diri ahli keluarga.

Tidak ketinggalan ialah aspek hidup beriman, membudayakan amalan sihat fizikal dan mental, mengekalkan tradisi dan adat kekeluargaan, kasih sayang, hormat dan taat.

Selaras dengan situasi semasa, ia turut menggariskan hala tuju strategik iaitu rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa akan berganding bahu memulihkan negara daripada impak-impak negatif akibat Covid-19.

Turut dikongsi bidang tujuan utama yang merangkumi menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia di bawah naungan Keluarga Malaysia, mengetepikan perbezaan politik untuk mencapai kestabilan, memulih semula dan merapatkan jurang ekonomi.

Secara amnya, mesej keseluruhan konsep ini ialah Keluarga Malaysia dapat menerima persamaan dan perbezaan berdasarkan nilal-nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia berlandaskan Perlembagaan Persekutuan Malaysia Rukun Negara.

Seluruh rakyat yang disatukan di bawah naungan Keluarga Malaysia tidak dibezakan melalui fahaman politik, sebaliknya akan diberikan kesaksamaan.

Pendekatan inilah yang diambil bagi mengajak rakyat negara ini mengetepikan perbezaan dalam menggembleng tenaga untuk memulihkan semula negara dalam merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif ini merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum serta mengajak semua rakyat di negara ini bersama-sama sebagai sebuah keluarga yang utuh.

Bagi memeriahkan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia selama empat hari bermula 9 hingga 12 Disember ini, pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan dan para pengunjung berpeluang memenangi hadiah istimewa yang disediakan.

Selain itu, terdapat pameran dan galeri, persembahan seni budaya, karnival kerjaya, diskaun saman Jabatan Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia, sukan rakyat, pendaftaran ke IPT dan pelbagai acara turut dianjurkan.

Luangkan masa anda sambil mengajak ahli keluarga dan sahabat handai untuk datang ke program ini yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pastikan memakai pelitup muka, sanitasi tangan dan jaga jarak fizikal.

#100HariAspirasi

#KeluargaMalaysia

Layari Facebook dan Instagram @mykeluargamalaysia.