Pedang Napoleon, lima senjata api dilelong lebih RM11 juta

Sebilah pedang dan lima senjata api milik Maharaja Perancis, Napoleon Bonaparte dilelong di Amerika Syarikat baru-baru ini. - Foto Rock Island Auction Company
Sebilah pedang dan lima senjata api milik Maharaja Perancis, Napoleon Bonaparte dilelong di Amerika Syarikat baru-baru ini. - Foto Rock Island Auction Company
A
A
A

NEW YORK - Sebilah pedang yang pernah dibawa oleh pemimpin tentera Perancis, Napoleon Bonaparte ketika beliau melakukan rampasan kuasa pada tahun 1799 dan lima lagi senjata api miliknya dilelong pada harga lebih AS$2.8 juta (RM11.81 juta), kata sebuah firma lelongan pada Selasa.

Kesemua barangan itu dilelong oleh Rock Island Auction Company yang beribu pejabat di negeri Illinois, Amerika Syarikat (AS) kepada seorang pembeli yang identitinya tidak didedahkan pada 3 Disember lalu, kata Presiden syarikat lelongan itu, Kevin Hogan kepada AFP.

Pedang dan lima lagi pucuk pistol itu pada awalnya dinilai antara AS$1.5 juta (RM6.33 juta) dan AS$3.5 juta (RM14.76 juta).

Selepas menjadi Maharaja Perancis, Napoleon dipercayai menyerahkan pedang tersebut kepada Jeneral Jean-Andoche Junot.

Namun, isteri jeneral itu bertindak menjual pedang tersebut bagi membayar hutang.

Pedang itu kemudian ditemui oleh Muzium London.

Pemilik terakhir pedang tersebut sebelum dilelong ialah seorang rakyat AS tetapi beliau meninggal dunia baru-baru ini, menurut firma lelongan tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan: